Lagu Nasyid Jihad


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

...Palestine Will Be Free...(Maher Zain)

Wednesday, March 25, 2009

'Abang Nombor Satu' Khmer Merah


Saloth Sar, bukanlah suatu nama yang sinonim dengan masyarakat Kemboja sebelum bermulanya era Khmer Rouge. Beliau bukannya seorang pemimpin terkenal dalam masyarakat apatah lagi menjawat jawatan menteri kerajaan dan sebagainya pada zamannya. Namanya juga tidak semegah Jeneral Lon Nol yang mengambil alih pemerintahan Kemboja dari Raja Sihanouk malah jika disebut namanya ketika itu, pasti ramai yang menggelengkan kepada menandakan tidak tahu-menahu mengenainya.

Pol Pot atau nama sebenarnya, Saloth Sar dilahirkan dalam keluarga yang berada pada 19 Mei 1925 di Kompong Thong, Kemboja. Dalam usia yang muda, beliau telah mempelajari asas-asas agama Buddha di kuil dan menerima pendidikan yang lebih rasmi di beberapa sekolah berbahasa Perancis(antara kesan penjajahan Perancis ke atas Kemboja, sistem dan sukatan pelajaran diajar mengikut Perancis). Permulaan fahaman komunisma dalam hidup Pol Pot bermula dengan penyertaannya ke dalam Parti Komunis Indochina Ho Chi Minh pada tahun 1946. Pada tahun 1949 pula, beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang keelektrikan radio di Paris.

Pol Pot pernah disifatkan sebagai seorang yang sopan, baik dan ‘banyak berfikir tetapi kurang bercakap’ oleh mereka yang mengenalinya. Di Paris, Pol Pot menyertai Parti Komunis Perancis dan mula taksub dengan fahaman komunis Marx serta revolusi sosialisma. Beliau mula membina Persatuan Pelajar Kemboja(Association of Khmer Students) yang mendokong kuat idea komunisma dan pernah mengeluarkan risalah bertajuk ‘Monarki atau Demokrasi?’. Melalui tulisannya, Pol Pot menyeru supaya pemerintahan monarki Kemboja digantikan dengan pemerintahan berbentuk demokrasi yang didakwanya tiada tandingan malah lebih suci daripada pemerintahan monarki. Kelompok pelajar yang digelar sebagai ‘kumpulan pelajar Paris’ inilah yang menjadi pemimpin Khmer Rouge nanti.

Pada tahun 1953, Pol Pot gagal meneruskan pelajaran apabila biasiswa yang diterimanya ditarik balik. Akibatnya, beliau terpaksa pulang dan membawa bersama ‘idea pembaharuan’ yang ingin dilaksanakan di Kemboja. Pada tahun yang sama juga, Kemboja berjaya memperoleh kemerdekaan penuh hasil usaha Raja Norodom Sihanouk. Walau bagaimanapun, negara Kemboja belum sepenuhnya stabil kerana turut terkesan dengan peperangan yang sedang belaku di negara jirannya, Vietnam.

Sekembalinya Pol Pot ke Kemboja, beliau bekerja sebagai guru di sekolah swasta untuk menyara kehidupan di samping terus melibatkan diri dengan Parti Revolusi Rakyat Kampuchea iaitu satu daripada tiga unit kecil yang diwujudkan oleh Parti Komunis Indochina yang pernah dianggotainya dan didominasi oleh orang Vietnam. Pada masa yang sama, Pol Pot cuba membina hubungan dengan pihak komunis Vietnam. Kira-kira tuhuh tahun kemudian, Pol Pot dan ‘kumpulan pelajar Paris’ mengambil alih Parti Revolusi Rakyat Kampuchea dan menukarkannya kepada Parti Pekerja Kampuchea. Nama parti ini sekali lagi ditukar kepada Parti Komunis Kampuchea atau dikenali juga sebagai Khmer Rouge manakala ‘Angkar’ pula merujuk kepada kelompok pemimpin Khmer Rouge. Pergerakan mereka dilakukan di dalam hutan dan kebanyakan ahli awal Khmer Rouge terdiri daripada golongan petani dan peladang.

Pada tahun 1970, pemerintahan Raja Sihanouk berakhir apabila pemerintahan Kemboja dirampas dan digantikan oleh pemerintahan tentera oleh Jeneral Loh Nol yang menerima bantuan dari Amerika Syarikat. Kesannya, pengikut Raja Norodom Sihanouk terpaksa bergabung dengan musuh asal mereka iaitu Khmer Rouge agar pemerintahan tentera yang baru dapat ditumbangkan. Selain itu, Khmer Rouge juga menjadi pilihan kepada penduduk utara Vietnam yang menjadi mangsa serangan Amerika Syarikat dan mencari perlindungan di dalam hutan.

Konflik Amerika Syarikat-Vietnam dalam Perang Vietnam atau Perang Indochina berakhir pada tahun 1975 apabila Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya dari Vietnam. Secara tidak langsung, pemerintahan tentera yang sedang berlangsung di Kemboja mula kehilangan pengaruh dan sokongan apabila rakan sekutunya itu berundur. Akhirnya pada tanggal 17 April 1975, tentera Khmer Rouge di bawah pimpinan Pol Pot mengambil kesempatan menyerang dan menawan Kemboja.

Sepanjang 5 tahun(1975-1979) Kemboja diperintah oleh Khmer Rouge, lebih dari suku penduduk Kemboja dibunuh akibat kepincangan ideologi dan sikap pemimpin-pemimpinnya. Kesan pembunuhan kira-kira 2 juta rakyat Kemboja pada era tersebut dibuktikan dengan penemuan tengkorak dan tulang-tulang manusia di kawasan Ladang Pembunuhan (The Killing Field) hinggakan tempat ini diangkat menjadi judul filem yang menceritakan pengalaman mangsa yang terselamat. Penjara Tuol Sleng atau S-21 pula menjadi saksi kepada penyeksaan yang dilakukan terhadap tahanan yang disyaki menjadi musuh politik kepada pemerintahan Pol Pot.

Pol Pot atau 'abang nombor satu' ini sememangnya tidak banyak mendedahkan diri kepada umum berbanding pemimpin Khmer Rouge yang lain tetapi idea revolusi pertanian yang dibawanya mendapat sambutan hangat dan didokong penuh oleh ahli Khmer Rouge. Walau bagaimanapun, di sebalik falsafah yang dibawa, kita akan melihat satu persatu kepincangan yang wujud dan kesannya yang mulai timbul apabila revolusi pertanian ini cuba dilaksanakan. Nantikan artikel yang akan datang.
Wardah bt Abdul Rahman
Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...