Ahad lalu, Utusan Malaysia menyiarkan berita berkenaan penyeksaan yang berlaku ke atas tahanan yang berada di Teluk Guantanamo, Cuba. Mungkin masih ada dalam kalangan kita yang tidak menyedari akan wujudnya sebuah kem tahanan yang dikawal oleh negara ‘polis dunia’ ini, Amerika Syarikat. Sebenarnya penyeksaan serta layanan buruk ke atas tahanan di kem Guantanamo adalah suatu perkara yang telah sinonim dengannya buat sekian lama. Walau bagaimanapun, pendedahan yang dilakukan oleh seorang bekas tahanan penjara Guantanamo baru-baru ini telah mengejutkan ramai pihak. Aktiviti kejam yang berlangsung di dalamnya dilaporkan semakin buruk! Walhal sedari awal tampuk Presiden Amerika Syarikat ditukar dari George W. Bush kepada Barrack Obama, Obama telah berjanji untuk menutup kem tahanan yang penuh kontroversi ini.
George W. Bush ketika zamannya pernah juga didesak supaya menutup kem tahanan Guantanamo yang didakwa menempatkan ‘pengganas-pengganas’, ‘pejuang musuh’ ataupun penjenayah perang yang ditangkap dari negara Iran dan Afghanistan. Selain mereka, turut termasuk dalam senarai tahanan ialah beberapa etnik Uyghur dari China. Sungguhpun desakan yang diterima bukan sahaja dari organisasi-organisasi yang memperjuang hak asasi dari negara-negara luar bahkan dari dalam Amerika Syarikat sendiri, kem tahanan tersebut tidak pernah ditutup malah langsung tiada usaha yang dilakukan oleh Bush untuk menutupnya. Sebaliknya, alasan demi alasan diberikan untuk membenarkan jenayah kejam yang berlaku di sebalik jaring dan dinding-dinding batu kem Guantanamo diteruskan.
Obama semasa berkempen untuk pilihanraya Amerika Syarikat telah berjanji untuk menutup kem tersebut dan selepas dua hari mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden, beliau telah mengumumkan keputusan untuk menutup penjara itu. Penutupan yang diarahkan tidak dapat berlaku dalam masa yang singkat dan masa setahun diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut. Rupa-rupanya, pada masa masyarakat dunia gembira menyambut berita penutupan kem tersebut, perkara sebaliknya berlaku di dalam kem tahanan. Pengawal dan penyiasat di kem Guantanamo menggandakan penyeksaan mereka dengan alasan ‘membalas dendam buat kali terakhir’ sebelum kem ditutup.
Sejarah Kem Tahanan Teluk Guantanamo bermula kira-kira 6 tahun lepas apabila kumpulan pertama 20 tahanan dari Afghanistan tiba ke kem tersebut. Sejak daripada itu, jumlah tahanan yang dimasukkan semakin meningkat hingga mencapai 490 orang. Mereka yang ditahan hanya disyaki sebagai pengganas atau mendalangi serangan-serangan ganas seperti Peristiwa 11 September, Pengeboman Bali dan mereka sebenarnya ditangkap tanpa dibicarakan di mahkamah hinggakan ada di antara mereka yang tidak menyedari tuduhan kesalahan tersebut! (Adilnya negara polis ini bertindak). Penahanan mereka juga jelas melanggar Perjanjian Geneva berkenaan hak tahanan perang.
Selain itu, sungguhpun kem Guantanamo mula dihuni pada tahun 2002, hanya pada 3 Mac 2006 maklumat berkenaan nama dan kerakyatan tahanan dikeluarkan. Itupun selepas Pentagon disaman oleh Associated Press di bawah Akta Kebebasan Maklumat. Di manakah keadilan Amerika Syarikat dalam cubaan mengadili ‘penjenayah’ ini sedangkan maklumat asas tahanan pun sangat dirahsiakan?
Perhatian dunia kembali terarah apabila pertama kalinya pada 11 Jun 2006, tiga tahanan Arab membunuh diri semasa masih di dalam tahanan. Sebelum itu, mereka dilaporkan telah menyertai mogok lapar bagi membantah penahanan tanpa bicara yang dilakukan Amerika Syarikat. Malah ada di antara tahanan telah melancarkan mogok lapar hampir dua tahun. Persoalan baru mula timbul di benak masyarakat tentang tujuan mereka bertindak sedemikian. Cuba lihat dahulu beberapa seksaan dan deraan yang dilakukan ke atas tahanan di Guantanamo:
-Tahanan dibogelkan sesuka hati
-Memindahkan tahanan dari satu bilik ke satu bilik sesuka hati tanpa mengira masa bagi mengelakkan mereka tidur.
-Tahanan dipakaikan jumpsuit jingga, kepala ditutup dan kaki dirantai besi
-Merantai tahanan di dalam blik dan hanya diberi makan roti dan air selama 17 hari
-Dikurung di dalam bilik sempit yang hanya diterangi oleh cahaya lampu.
-Mendedahkan tahanan dengan muzik yang kuat untuk menghalang mereka tidur dan berkomunikasi
-Mengikat tahanan yang melakukan mogok lapar di kerusi dan memberi makan melalui tiub yang dimasukkan ke dalam hidung secara paksa
-Dikurung bersendirian dan ditahan dari mendapat udara segar selama 23 jam sehari selama berbulan-bulan.
-Dikurung di dalam bilik penjara yang tidak mempunyai tingkap
Hasil tekanan berbentuk fizikal dan penderaan jiwa ini menyebabkan tahanan berhadapan dengan masalah kesihatan jiwa, agorafobia (risau terhadap ruang yang besar dan persekitaran baru), kurang daya ingatan, kurang daya untuk bertindak balas malah tidak mustahil mereka mungkin akan mudah terdorong untuk membunuh diri.
Kewujudan Kem Tahanan Guantanamo dilihat sebagai suatu tindakan jenayah terancang yang berselindung di sebalik penguatkuasaan undang-undang. Tindakan Amerika Syarikat mengangkat diri untuk menjadi ‘polis dunia’ amat menjengkelkan hinggakan tribunal untuk membicarakan suspek-suspek pengganas turut disifatkan sebagai tidak bermoral dan mencemar perlembagaan Amerika Syarikat. Walaupun Obama telah berjanji untuk mengubah dasar luar pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, tindakannya terhadap situasi terkini yang berlaku di Kem Tahanan Guantanamo akan terus menjadi perhatian umum.
Wardah bt Abdul Rahman
Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)
http://skuad-penyelamat-aqidah.blogspot.com/