Lagu Nasyid Jihad


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

...Palestine Will Be Free...(Maher Zain)

Monday, October 22, 2012

Konspirasi Barat di Somalia


 Konspirasi Barat di Somalia
Muhammad Nuruddin Bashah
Ramai yang tidak mengenali latar belakang negara Somalia yang beribu negarakan Mogadishu[1]. Pasti perkara yang tergambar di fikiran hanyalah rakyatnya yang kebuluran, hitam, kurus serta merempat akibat perpecahan dalaman dan politik. Disebabkan kurangnya wacana khusus berkisar isu Somalia, ramai pengamat polisi dunia terlepas pandang bahawa negara yang bertutur dalam bahasa  Somalia dan Arab ini sebenarnya menjadi mangsa konspirasi Barat yang berpanjangan[2].
Jarang kita mendengar kisah perjuangan rakyat di Somalia. Baru-baru ini pada 4 Ogos 2012 di ibukota negara tersebut, 9 orang yang diduga mujahid Al Shabaab telah terbunuh dan puluhan orang lain mengalami luka-luka dalam serangan tentera  AS di Somalia selatan.
Siapakah Al Shabaab dan mengapa kerajaan ini kelihatan tidak bertuan?
Kerajaan Somalia kini adalah kerajaan Persekutuan Peralihan yang diterajui oleh Presiden Hassan Sheikh Mahmoud iaitu pemerintah Federal Republic of Somalia.
Islam hadir ke Somalia.
Dalam sirah kita mempelajari bagaimana rombongan sahabat Rasulullah pernah berhijrah dan berdakwah ke Habsyah (Etopia) iaitu negara jiran Somalia yang kini berkrisis sesama mereka.
Kelahiran Islam berlaku pada teluk bertentangan dengan sebelah Laut Merah Somalia dan kehadiran Islam dijangka wujud melalui hubungan dagang Arab Muslim mereka. Dengan perpindahan dan pelarian keluarga-keluarga Muslim dari dunia Islam ke Somalia pada awal abad-abad Islam dan penukaran agama bagi populasi Somali oleh sarjana Muslim pada abad-abad berikutnya, bandar-negara purba akhirnya menjadi Mogadishu, Berbera, Zeila, Barawa dan Merka yang Islam, serta menjadi sebahagian daripada tamadun Barbar (istilah Barat terhadap kaum Islam Iberia dan Afrika Utara). Bandaraya Mogadishu telah menjadi semakin dikenali sebagai Bandaraya Islam.
Orang-orang Muslim yang ditindas telah melarikan diri ke bandar pelabuhan Axumite yang sekarang ini dikenali sebagai Zeila untuk meminta perlindungan daripada orang Quraish di mahkamah Maharaja Axumite (Habsyah) di Ethiopia pada masa kini[3]. Sahabat Nabi telah diberi perlindungan Najasyi  dikatakan telah tinggal di beberapa tempat di beberapa bahagian Tanduk Afrika untuk berdakwah mengenai agama tersebut.
Kemenangan orang Muslim terhadap Quraish pada abad ke-7 telah memberikan satu impak yang besar terhadap pedagang-pedagang dan pelaut-pelaut Somalia, sebagai rakan niaga Arab kemudian kesemuanya memeluk agama Islam, dan laluan perdagangan yang besar di Mediterranean dan Laut Merah di bawah kekuasaan khalifah-khalifah muslim. Menerusi perdagangan, Islam disebarkan ke seluruh populasi Somalia di bandar-bandar pesisir pantai Somalia. Ketidakstabilan di semenanjung Arab telah menyaksikan beberapa perpindahan keluarga-keluarga Arab ke bandar-bandar pesisir pantai Somalia, yang mana menyumbangkan beberapa unsur penting kepada perkembangan Islam di Semenanjung Somalia.
Dalam tahun 800 M, Al-Yaqubi menulis bahawa umat Islam yang tinggal di sepanjang pesisir utara Somalia  menunjukkan bahawa Kesultanan Adal dengan Zeila sebagai ibu pejabatnya wujud.
Semasa era Ajuuraans, kesultanan  Merca, Mogadishu, Barawa, Hobyo dan dengan pelabuhan masing-masing berkembang dan mempunyai dagang asing yang menguntungkan, dengan kapal-kapal yang belayar dari Saudi, India, Venetia, Parsi, Mesir, Portugal dan China. Vasco da Gama, pada abad ke-15, berkata bahawa ia adalah sebuah bandar besar dengan rumah tingkat beberapa tinggi .
Menurut sejarah moden, Somalia adalah negara Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Khilafah Turki Uthmaniyah sebelum dijajah oleh Itali dan Inggeris. Panggilan rasmi mengikut Bahasa Arab ialah Jumhuriyyat As-Sumal. 
Bahagian utara Somalia, dikenali juga sebagai British Somaliland kerana pernah dijajah oleh Inggeris mulai tahun 1886, manakala bahagian selatan, yang dipanggil Italian Somaliland kerana pernah dijajah oleh Itali pada tahun 1889.
Berlakunya peningkatan serangan lanun Somalia di luar lautan luasnya banyak berkait dengan keadaan politik yang sangat huru-hara yang juga membawa kepada kemunduran di negara Somalia sendiri. Namun  media jarang mendedahkan siapa dalang di sebalik kegiatan lanun tersebut. Rakyat Somalia yang mendiami di tepi pantai utara dan timur laut dituduh menjadikan kegiatan melanun sebagai mata pencarian bermusim.

Sejarah bangsa Somalia
Somalia telah diduduki oleh manusia semenjak zaman Paleolitik. Lukisan gua bertarikh sejauh 9000 BC telah dijumpai di Somalia Utara. Paling masyhur adalah kompleks Laas Geel , yang mengandungi beberapa seni batuan yang paling awal di benua Afrika.
Negara yang digelar Tanduk Afrika dari segi bentuk petanya
Somalia merupakan satu pusat perdagangan yang sangat penting dengan dunia purba yang lain. Pelaut dan pedagangnya merupakan  pembekal penting bagi menyalurkan kemenyan, morhabshi dan rempah ratus, bagi masyarakat  Mesir Purba, Phoenicia, Yunani Mycenaean dan Babylon. Merujuk kepada kebanyakan sarjana, Somalia juga merupakan tempat terletaknya Kerajaan  Punt[4].
Abad ke-7 menyaksikan  suku Arab mendiami kawasan Coast of Aden dan mendirikan Kesultanan Adal yang kemudiannya berpecah kepada beberapa kerajaan kecil lain. Pada sekitar 1875, Mesir menawan bandar-bandar di sepanjang pantai Somalia dan diganti dengan pemerintahan British pada 1987. Pada  1889 pula penjajah beralih tangan kepada Itali. Lebih dahsyat pada 1936, Itali menggabungkan pula  wilayah Somaliland dengan Eretria dan Habsyah untuk membentuk Itali Afrika Timur.
Sepanjang Perang Dunia II, kuasa British beralih antara Itali dan Britain. Pada 26 Jun 1960, British Somaliland mendapat kemerdekaan. Pada 1 Julai 1960 pula Itali Somaliland mendapat kemerdekaan dan bergabung dengan British Somaliland untuk membentuk Republik Somalia. Presiden Aden Abdullah Osman Daar dilantik sebagai Presiden yang pertama. Begitulah sebahagian awal percaturan Barat terhadap politik kerajaan Islam di Afrika.
Kerajaan Somalia dipimpin oleh Presiden Abdirashid Ali Shermarke yang memerintah sehingga berlaku rampasan kuasa pada tahun 1969 yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Siad Barre.
Seperti kebiasaan kerajaan Islam yang diboneka oleh Barat, pada 21 Oktober 1969, Mejar Jeneral Muhammad Siad Barre mula merampas kuasa. Tentera menggantung perlembagaan dan mengharamkan 86 parti politik. Siad Barre pula menukar menjadi negara sosialis pada 1970. Ini perkara biasa dalam sejarah negara umat Islam membangun yang diperintah oleh diktator Tentera.
Konflik dalaman bermula
Said Barre adalah diktator walaupun berusaha keras menghalau kuasa Barat dari negara itu termasuk kuasa Komunis seperti Rusia dan Cuba. Pada 8 April 1978 terjadi satu percubaan menggulingkan presiden Said Barre tetapi gagal dan menyebabkan presiden itu menguatkan lagi cengkaman ke atas pentadbiran negara dan mengagihkan kuasa di kalangan saudara-maranya.
Pada Mei 1988, Pergerakan Kebangsaan Somali (SNM) menentang Said Barre dan bermulanya penyuburan penentangan secara bersenjata di Somalia.
Pada 27 Januari 1991, Siad Barre meninggalkan Mogadishu dan kumpulan Hawiye, Kongres Kesatuan Somali (USC) menawan bandar tersebut. Pada 28 Januari 1991, USC melantik Ali Mahdi Muhammad sebagai presiden baru, bagaimanapun sayap tentera USC yang diketuai oleh Jeneral Muhamad Farah Aidid menentang perlantikan berkenaan.
Pertempuran meletus di wilayah timur laut di antara Al-Ittihad Islamic dan kumpulan militia yang setia kepada Somali Salvation Democratic Front (SSDF) yang diketuai oleh Kolonel Abdullahi Yusuf Ahmad.
Konflik terus berlaku dan terjadi pertembungan antara gerakan jihad dengan kumpulan militan pro Abdullahi Yusuf Ahmad Pemerintah Persekutuan  Sementara (PSF). Pada Ogos 2004, Parlimen sementara dirasmikan di Kenya dan  melantik Abdullah Yusuf sebagai presiden. Keputusan ini direstui Barat. Namun pada Julai 2006 Kesatuan Mahkamah Islam (UIC) mengambil alih pentadbiran Somalia.
Malang kita menyaksikan pada Disember 2006, tentera kerajaan Somalia Pemerintah Persekutuan  Sementara (PSF) yang direstui Barat sanggup bersekutu dengan tentera Kristian Habsyah menawan Mogadishu yang mulai ditadbir oleh ulama’ pilihan rakyat.
Islam punca Somalia diperkotak katik
Hakikat dari bencana kelaparan dan konflik berpanjangan di negara Somalia adalah berlaku disebabkan oleh  Amerika dan Zionis  yang tidak merestui penerapan syariat Islam di negara Somalia. 
Menurut analisis William Engdahl dari Global Research, memiliterisasi selat Mandab dan perompak Somalia adalah merupakan usaha AS untuk menekan negara-negara OPEC agar tetap melakukan transaksi dalam dollar Amerika.  Semua negara  Arab Saudi, Mesir, Somalia, Jibouti, Eritrea, Sudan, dan Yaman saling mengadap Selat Mandab (Bab el Mandab) yang strategik dimana kapal dari Teluk Parsi melalui Selat Mandab, sebelum memasuki  Terusan Suez, dan menuju Mediteranean.
Engdahl kemudian menyoroti kes-kes lanun laut Somalia yang membuat kacau di Selat Mandab selama dua tahun terakhir.
Persoalannya;
  • Bagaimana mungkin lanun Somalia, sebuah negara yang berada di nombor teratas dalam senarai ‘negara gagal’ (failed state) mampu memiliki senjata dan logistik yang canggih?
  • Bagaimana mereka mampu merompak 80 kapal dari pelbagai negara?
  • Lanun Somalia pula didakwa menggunakan gaya penjahat di negara maju seperti tindakan mereka menelefon terus ke Akhbar  Times di Britain, memberitahu mereka sudah berjaya merompak!
Sebenarnya  wujudnya watak perompak Somalia di Selat Mandab memberi alasan kepada AS untuk meletak kapal perangnya di sana. Lebih malang pemerintah Mesir (sebelum Revolusi), Sudan, Jibouti, Eritrea, Somalia, Arab Saudi, sudah terpedaya oleh AS sehingga merestui agenda  militerisasi AS di Selat Mandab.
Sejak jatuhnya pemerintahan militer di bawah diktator Mohammed Siad Barre, negara Somalia tidak pernah  aman. Sejak tahun 1991, Somalia merupakan negara yang sering sekali terjadi perang saudara. Perang yang bermula daripada  meluapnya kemarahan rakyat kepada pemerintahan Mohammed Siad Barre berlanjutan hingga 15 tahun lamanya. Perang saudara tersebut mengakibatkan terpecahnya Somalia, iaitu yang pertama bernama Somaliland dan yang kedua bernama Puntland yang  saling mendakwa sebagai negara yang sah dan berdaulat.
Pemerintahan Somalia yang diakui dunia adalah Pemerintah Persekutuan  Sementara (PSF), diketuai oleh Abdul Kassim Salat Hassan yang kemudian, diganti dengan Abdullahi Yusuf pada 2004.  Walaupun  pemerintahan Abdullah Yusuf diakui oleh masyarakat antarabangsa  tetapi banyak polisi dan keputusan strategik negara dipengaruhi oleh pihak Barat[5].
Ulama’ bertindak
Kacau bilau yang terjadi akhirnya mendorong para ulama dan tokoh agama membentuk Kesatuan Mahkamah Islam  (UIC) tahun 2003. Kelompok ini telah  menjadi saingan pula kepada  Pemerintah Persekutuan  Sementara (PSF) pimpinan Presiden Abdullahi Yusuf Ahmad yang kurang disukai rakyat[6].
UIC melalui pimpinan Sharif Syekh Ahmed berusaha memulihkan  krisis berkepanjangan di  Somalia dengan menerapkan syariat Islam. UIC percaya, hanya Islam yang mampu  untuk menyatukan Somalia. UIC, berpengkalan  di utara ibukota Mogadishu.
Kehebatan perlaksanaan syariah terserlah apabila warga di Mogadishu, Jowhar, dan Balad mengatakan, sistem pengangkutan kini lebih lancar, perniagaan  mulai meningkat , dan senjata-senjata sudah tidak terlihat lagi di jalan-jalan. Demikianlah pandangan  Ali Mayo, seorang warga Mogadishu dalam laman sesawang Islamonline.
UIC menguasai seluruh bahagian ibukota pada Jun 2006 dengan mengusir para pemimpin berhaluan sekular pro-Amerika. 
Selain itu UIC juga memberikan bantuan sosial, kesihatan, dan pendidikan kepada rakyat. Hal ini amat mencemaskan Yahudi dan proksinya!
Kelompok ahli perniagaan lebih gemar dengan pengaruh UIC yang memperkenalkan undang-undang syariah kerana Mogadishu memerlukan peraturan untuk memastikan perniagaan mereka berkembang
Lantas secara pre-emptif, pada Disember 2006, pasukan Pemerintah Persekutuan Sementara PSF dengan didukung tentera Ethiopia (Habsyah) dan negara Barat, menyerang pengkalan UIC[7]. Serangan ini membuat UIC tersepit sebelum kehilangan seluruh wilayah. Akibatnya para ulama’ terpaksa memilih jalan militan.
 Seperti biasa PBB mengirim pasukan perdamaian untuk campurtangan. Namun, para pejuang Islam berikrar untuk terus melawan pemerintah dukungan Barat, untuk mengembalikan penerapan syariat Islam di seluruh wilayah Somalia.
Haroun Hassan, jurnalis Somalia yang bertugas di London, memberitahu  bahawa masyarakat Somalia cenderung memilih syariat Islam kerana merasa kecewa dengan sistem sekular.
Presiden Somalia yang dipilih rakyat pada 2009 Syarif Sheikh Ahmad menyetujui gencatan senjata untuk mengakhiri konflik panjang yang melanda negara itu malah Ketua Himpunan Ulama Muslim Antarabangsa, Dr Yusuf Al Qaradhawi, melalui utusannya menyampaikan seruan terhadap pejuang Somalia untuk melakukan pembicaraan damai.
Sebagaimana diketahui, setelah Syarif diangkat menjadi pemimpin Somalia pada Januari  2009 lalu, gerakan  pejuang rakyat Somalia terbahagi menjadi dua, antara pendukung dan penentang[8].
Pertama : Kelompok Mahakim Al Islami, yang dipimpin oleh Syeikh Abdul Qadir Ali Umar. Harakah Al Ishlah (Ikhwan Al Muslimun), Harakah Tajammu’ Al Islami dan Jama’ah Ahlu Sunnah wa al Jama’ah  menyokong pemerintahan  Syarif.
Kedua : Harakah As Shaabab Al Mujahidin serta Al Mahakim Al Islami wilayah Asmarah, Al Jabhah Al Islamiyah serta Mu’askar Anuli, yang bergabung dalam Hizb Al Islami.
Syeikh Syarif bagaimanapun menolak  pemikiran as-Shaabab (gerakan militan yang masih kekal)  yang menurutnya masih jauh dari konsep Islam ideal walaupun asalnya as Shaabab adalah sayap utama UIC semasa serangan Ethiopia 2006 [9].
Menurut harian Daily Mail, Selasa, 26 Julai 2011, kelompok militan Al-Shabaab mengumumkan larangan memasak samosa  dengan menganggap makanan ala barat adalah haram[10]
Begitu juga tindakan Al Shabaab menghancurkan kuburan Sheikh Mohidin Eli dan kuburan Sheikh Ahmed Haji atas hujah kuwatir  terjadi pemujaan terhadap kuburan atau ahli kubur.
Dengan pemahaman seperti itu,  jelaslah kelompok militan Al Shabaab yang tergabung dalam Hizb al Islami mengikuti pemahaman Ibnu Taimiyah (Salafi) namun jalur pemahaman yang membolehkan rakyat mengkritik atau menentang secara bersenjata pemerintahan yang sah atau yang dikenal dengan Salafi Jihadi. Aliran ini berbeza dengan aliran salafi biasa.
Bagi As Shaabab pula, pemerintah Kerajaan Persekutuan Transisional (TFG) baik dari kalangan SSDF atau pun UIC dianggap sebagai boneka Barat.
Konspirasi Amerika dan sekutu
Kemarau,  bukanlah satu-satunya punca krisis kebuluran di Somalia.
Somalia tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi. Sepanjang tempoh 20 tahun lalu sejak Presiden Said Barre digulingkan, negara itu terus bergolak walaupun baru sahaja terlepas daripada pemerintah zalim.
Semasa pertengahan 70-an, kemarau berpanjangan berlaku di Somalia tetapi ia tidak menyebabkan kebuluran di seluruh negara kerana masih ada kerajaan (sosialis) yang bertanggungjawab.
Kebuluran di Somalia juga berpunca daripada campur tangan kerap kuasa asing dalam hal ehwal dalaman negara.  Bertopengkan program kemanusiaan PBB, Amerika Syarikat (AS) cuba menentukan arah tuju politik Somalia pada 1992 dan 1993 dengan memperlagakan blok-blok militan di negara Tanduk Afrika ini.
http://www.aljazeera.com/mritems/Images/2011/8/16/20118160493107734_20.jpg
Selain itu potensi minyak di Somalia juga  menjadi satu daripada punca campurtangan AS dan Zionis selain kedudukan strategik Somalia yang digelar Tanduk Afrika itu. Namun campur tangan AS itu gagal malah menyebabkan kekacauan lebih buruk di Somalia.
Peristiwa pengeboman berkembar kedutaan AS di Kenya dan Tanzania yang didakwa dilakukan oleh Al-Qaeda pada 1998, dan diikuti serangan 9/11 pada 2001, menjadi alasan AS  masuk campur dalam urusan Somalia.
Washington memberikan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan Sementara (TFG) Abdullahi Yusuf Ahmad,  bagi menghalang kebangkitan Kesatuan Pengadilan Islam (UIC) yang semakin popular.
Perang saudara yang sedang berlangsung inilah menjadi halangan besar kepada penghantaran bekalan makanan kepada rakyat kebuluran.
Selain itu, penghantaran makanan juga diganggu dengan sekatan dikenakan AS-PBB sebelum ini ke atas kawasan yng dikawal salah satu serpihan cabang kumpulan UIC, iaitu Al-Shabaab.
Kumpulan Al-Shabaab didakwa menghalang agensi bantuan makanan antarabangsa daripada mencapai kubu kuat mereka kerana khuatir akan kehilangan kawalan di kawasan itu.
Somalia dirangka untuk berperang dengan Etopia
Sejak campur tangan Ethiopia di Somalia oada 2006/2007, anak muda semakin bersemangat menyertai militan As Shaabab.






Lihat pandangan Barat terhadap gerakan jihad di Somalia[11].
        Murah sumber manusia yang mudah menggembleng dan merekrut pengganas.
  • Dikuasai oleh ideologi, Salafi-Wahabbism, yang  menekankan pelaksanaan yang sangat ketat undang-undang syariah.
  • Akses yang sangat mudah untuk senjata kecil - bentuk mata wang
        As Shabaabs di Somalia Selatan, dikatakan mengadakan kuiz atau pertandingan di mana  AK 47, bom tangan dan tangki periuk api dijadikan  hadiah untuk pemenang jika mereka betul boleh menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan Al-Quran.
Sebelum itu, pada Julai 1977 Somalia pernah mengisytiharkan perang terhadap Habsyah dan menyerang Ogaden. Manakala pada 3 November 1977, Somalia mengusir 6,000 orang rakyat Rusia, Cuba dan sekutu Kesatuan Soviet yang lain. Tetapi ia hanya sementara kerana setahun kemudian Somalia mengundurkan tentera dari Ogaden selepas Kesatuan Soviet dan Cuba campur tangan menyokong  Habsyah.
Ethiopia kerap mengganggu urusan politik Somalia kerana pertembungan Kristian-Islam berabad lamanya. Malah dengan sokongan AS jugalah Ethiopia melampau memerangi Somalia pada 2006 kerana ingin menjatuhkan UIC yang sedang berkuasa ketika itu.
Kebuluran dan taraf hidup yang masih meleset
UNHCR mengatakan bahawa disebabkan konflik berterusan  di Somalia, kini terjadi peningkatan jumlah pelarian. Pada 2012 sahaja, kira-kira 13,000 orang telah meninggalkan rumah mereka kerana kekurangan makanan.
Dalam laporan terbaru, Unit  Analisa keselamatan Makanan dan Pemakanan (FSNAU) memberi amaran bahawa keadaan makanan di seluruh Somalia berkemungkinan tidak berubah sejak Januari 2012.
Besar cabaran  kepada pejuang Islam yang ingin membimbing negara ini ke arah kemajuan berteras Islam. Hingga kini Somalia dianggap antara negara gagal.
Negara tersebut mengalami tahap buta huruf yang amat tinggi (62%). Seramai 1.3 juta orang Somalia tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan jangka hayat penduduknya hanya 50 tahun.
Selain Somalia, negara-negara lain bertaraf ‘Islamic state’ ialah Pakistan, Iran, Afghanistan, Yemen, Mauritania dan Arab Saudi.
10 negara ‘top’ Failed State di dunia ialah[12]:
1.            Somalia
2.            Chad
3.            Sudan
4.            Congo
5.            Haiti
6.            Zimbabwe
7.            Afghanistan
8.            Central African Republic
9.            Iraq
10.          Ivory Coast

Daripada 10 negara ‘failed state’ dunia yang tersenarai, lima  daripada mereka ialah  negara umat Islam iaitu Somalia, Afghanistan, Iraq, Chad dan Sudan.

Negara Somalia mengalami kemarau panjang terburuk sejak 1960 dan sejumlah 3.2 juta orang atau hampir sepertiga rakyat Somalia kini memerlukan bantuan hayat.
Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memohon bantuan tambahan AS$83 juta untuk menampung operasi kecemasan, terutama di wilayah tengah dan selatan Somalia. PBB juga melaporkan 30,000 kanak-kanak mati akibat kurang makanan dan 600,000 kanak-kanak masih dalam keadaan bahaya. PBB memerlukan AS$2.48 bilion untuk menangani krisis ini. Jumlah pengidap HIV/AIDS Somalia pula kini sebanyak 43,000 orang.
Mohamed Siad Barre yang merupakan diktator sosialis yang zalim di Somalia
Abdullahi Yusuf Ahmed ahli sains politik yang cukup disayangi oleh Barat. Pada zaman beliau, Tentera Ethoipia dan Barat bersatu cuba memusnahkan UIC yang diterima rakyat. Pemerintahan beliau tidak berpusat di Somalia (Kenya)  menyebabkan UIC berjaya menguasai Mogadishu.
Sharif Sheikh Ahmed adalah pemimpin UIC yang cukup Islamik dan menghafaz Al Quran.
Hassan Sheikh Mohamud ada hubungan dengan Al Ishlah iaitu cabang Ikhwanul Muslimin di Somalia.
Parti yang didokong
 Muhammad Nuruddin bin Bashah
31 Laluan Permai Puteh 8,
Taman Siputeh Permai, 31560 Siputeh, Perak. 017 6291368



[1] Mogadishu bermaksud "tempat duduk di Shah " adalah bandar terbesar di Somalia dan ibu negara Somalia. Peniaga Parsi dan Arab mengasaskan Mogadishu pada abad ke-10 yang bercampur dengan penduduk tempatan. Mogadishu terletak di pantai Benadir, rantau Lautan Hindi. Bandar ini telah berkhidmat sebagai pelabuhan yang penting selama berabad-abad. Dalam zaman pertengahan emas , pemerintah dinasti Arab Muzaffar menjadikan Mogadishu sebagai ibu negara. Begitu juga semasa penjajahan Itali.
Ketika pengembara Maghribi, Ibn Battuta sampai di pantai Somalia pada 1331, kota itu pada kemuncak kemakmuran. Battuta menyifatkan Mogadishu sebagai "kota yang sangat besar" dengan pedagang kaya yang banyak, yang terkenal dengan kain berkualiti tinggi yang dieksport ke Mesir dan tempat-tempat lain. Mogadishu diperintah oleh seorang Sultan Somalia berasal dari Berbera di utara Somalia yang bercakap Somali. Battuta menyebutnya sebagai Mogadishan.
[2] Jumlah penduduk seramai  9.133.000,  Tiada rekod jumlah perbelanjaan pada kesihatan per kapita, Tiada juga  jumlah peratusan  perbelanjaan pada kesihatan daripada KDNK Source: Kesihatan Global Observatory.

[3] Suatu ketika dahulu Kerajaan Axumite Kristian pernah diserang oleh Dhu Nuwas, raja Yahudi (murtad dari ajaran Nasrani) di Najran.
[4] Senarai kerajaan yang memerintah bumi Somalia = Kesultanan Adal, Kesultanan  Aussa,Negeri  Dervish,  Kesultanan Geledi , Kesultanan Harar, Kesultanan Ifat, Kerajaan  Gomma, Kerajaan  Gumma, Kerajaan  Jimma, Kerajaan Kaffa, Kesultanan Majeerteen, Kesultanan Marehan, Dinasti Mudaito, Kesultanan Shewa, Kesultanan Hobyo, Kesultanan Mogadishu, Dinasti Walashma, Kesultanan Warsangali, Dinasti Zagwe. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Tanduk_Afrika)
[5] Abdullahi  juga adalah pengasas Puntland Security Force (PSF) dan Puntland sebagai tanah kelahirannya dijadikan pangkalan awal pemerintahan beliau sebelum menubuhkan TFG dan memerintah Somalia. PSF telah mendapat khidmat inteligen daripada AS. Puntland adalah negeri yang makmur dalam Somalia.
[6] Abdullahi Yusuf Ahmed  Disember 1934-23 Mac 2012) adalah seorang ahli politik Somalia. Beliau adalah salah seorang pengasas Barisan Demokratik Salvation Somalia /Somali Salvation Democratic Front (SSDF), serta Negeri Puntland Somalia, di mana beliau berkhidmat sebagai Presiden pertama rantau autonomi dan memimpin pasukan Pemerintah Persekutuan  Sementara PSF. Pada tahun 2004, beliau juga membantu menubuhkan Kerajaan Peralihan Persekutuan (TFG) , dan beliau adalah Presiden Somalia daripada 2004 sehingga 2008. Beliau adalah boneka Barat.
Somali Salvation Front Demokratik (SSDF) adalah payung politik dan organisasi separa tentera di Somalia. Ditubuhkan pada tahun 1978 oleh beberapa pegawai-pegawai tentera, untuk menewaskan rejim autoritarian Mohamed Siad Barre.
[7] Bekas panglima perang PSF  kemudian bergabung dalam  Alliance for the Restoration of Peace and Counter-Terrorism, ARPCT, sebuah persekutuan para panglima perang yang didukung oleh AS. Pada awal bulan Juni 2006, UIC berhasil mematahkan kekuatan ARPCT selepas pertempuran sengit yang menyebabkan lebih dari 350 orang terbunuh.
[8] Sharif Sheikh Ahmed  شريف شيخ أحمد; dilahirkan Julai 25, 1964 adalah seorang ahli politik Somalia. Antara tahun 2009-2012, beliau adalah Presiden Somalia. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Komander Ketua Kesatuan Mahkamah Islam ( UIC) , menentang Kerajaan Persekutuan Peralihan (TFG) yang disokong oleh AS dan Barat. Presiden Somalia 2009-2012. Ahmed Sharif dilahirkan di rantau Dhexe Shabeellaha selatan Somalia. Beliau adalah ahli puak Abgaal. Syarif memulakan pendidikan di Institut Sheikh Sufi, yang telah dikaitkan dengan Universiti Al-Azhar di Mesir pergi ke Sudan dan memasuki Kordufan Universiti pada tahun 1992-an, meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bahasa Arab (utama) dan geografi (kecil) di bandar Aldalanj. Sheikh Sharif meninggalkan Tripoli, ibu kota Libya, selepas selesai hanya dua daripada empat tahun yang diperlukan. Di Libya, beliau memasuki Universiti Terbuka di mana beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dan Syariah Islam, lulus pada tahun 1998. Beliau telah bekerja sebagai guru sekolah dan juga merupakan seorang Hafiz Al Quran..
[9] Abdul Halim Saad pensyarah jemputan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam BH online http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Somaliadilandakebuluranteruk/Article/index_html menulis Siapakah Al Shabab? Pada 2006, Ethiopia dengan bantuan Amerika Syarikat menyerang Somalia yang diperintah oleh Islamic Courts Union (ICU) atau disebut  UIC yang dituduh mengamalkan dasar ekstremis Islam. Akibat daripada serangan Ethiopia itu, wujud Al Shabab yang sebelumnya menjadi pasukan bersenjata bagi ICU. Anggota Al Shabab senang dikenali dengan pakaian tentera dan kopiah merah putih serta bersenjatakan Kalashnikov, berumur antara 19 hingga 25 tahun serta mempunyai seramai 7,000 anggota. Al Shabab menguasai 50% bumi Somalia dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika. Kumpulan radikal ini bertujuan menggulingkan regim TFG yang memerintah sekarang dan menentang tentera UNOSOM. Al Shabab dipimpin oleh Ibrahim Jama Meeaad.
[11] Slide yang disediakan oleh Lilla Schumicky PhD Candidate/ University of Bradford/ Peace Studies Africa Conflict Monitoring Group Coordinator / University of Bradford UNDP Somalia Intern ACTED Area Coordinator / North-West Kenya.
[12] Sumber: The failed states Index 2011 @ www.foreignpolicy.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...