Lagu Nasyid Jihad


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

...Palestine Will Be Free...(Maher Zain)

Wednesday, April 29, 2009

Rohingya yang Belum Terbela


Pelarian Rohingya masih belum terbela nasib mereka di bumi Malaysia. Sedarkah kita bahawa walaupun Malaysia memberi ruang untuk mereka di bumi ini, negara kita masih belum mempunyai polisi atau akta khas yang khusus bagi menjaga kebajikan mereka.

Isu pelarian bukanlah perkara yang baru kerana selepas 6 tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Pelarian (UNHCR) pula ditubuhkan pada tahun 1951. Malaysia umumnya adalah salah sebuah negara yang turut sama menerima kehadiran pelarian Rohingya dan kemasukan mereka diterima baik kerana Malaysia sememangnya tertakluk kepada peraturan atau tindakan umum ke atas pelarian yang diwajibkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Benar, warga Rohingya yang datang tidak dizalimi sepertimana mereka dizalimi di Thailand, tetapi perihal kebajikan mereka belum tentu terjaga. Malah, mereka sebenarnya bakal berdepan dengan Akta Imigresen yang boleh membawa kepada dakwaan memasuki negara secara haram.

Pada asasnya, pelarian Rohingya tidak mempunyai taraf kewarganegaraan Myanmar kerana pihak kerajaan Myanmar tidak mengakuinya. Di sinilah timbulnya konflik apabila kerajaan Malaysia sukar menghantar pulang golongan Rohingya telah yang memasuki negara secara haram. Rohingya yang berada di Malaysia pula hanya mempunyai kad pengesahan yang dikeluarkan oleh UNHCR kepada mereka. Sesetengah mereka ada yang tidak mendapatkannya secara langsung tetapi memperolehnya selepas dibantu oleh pihak-pihak yang prihatin dengan mereka di Malaysia ini.

Ingin ditekankan bahawa pengurusan pelarian terpulang kepada negara yang menerima mereka. Melihat kemelut status kewarganegaraan serta desakan hidup yang makin menyeksa di bumi asal mereka, Myanmar, sudah pasti tujuan mereka menjadi pelarian di negara lain adalah untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik. Sewajarnya Malaysia perlu menggubal akta khas agar nasib golongan pelarian khususnya kaum Muslim Rohingya lebih terbela.

Sektor pendidikan dilihat sebagai wadah terbaik untuk mendidik generasi muda Rohingya yang kian bertambah daripada terus terbelenggu dengan krisis serta nasib hidup mereka yang lama. Setakat ini, hanya beberapa individu serta badan bukan kerajaan mengambil inisiatif sendiri mengadakan kelas tambahan mengajar Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kepada anak-anak Rohingya yang tidak diberi peluang memasuki sistem persekolahan di negara ini. Sudahlah kemelut yang melanda mereka tidak pernah surut, pendidikan yang diharapkan boleh membuka minda generasi baru Rohingya pula tidak menyokong kehadiran mereka di dalam sistemnya.

Selain pendidikan, seribu satu kaedah lain yang boleh difikirkan dan diambil tindakan serius oleh kerajaan. Rohingya adalah kaum seagama kita. Sudah semestinya kita wajar turut sama memikirkan dan menjaga kebajikan mereka.



Teringat saya pada pesakit-pesakit Myanmar yang datang ke klinik, tempat saya bekerja sambilan. Benar kata Abg Mat, rupa mereka seakan warganegara Bangladesh campur Melayu. Melihat kedut wajah serta tangan yang pejal berparut luka, terbayang kerja keras yang mereka lakukan di siang hari. Pasti mereka tidak bertangguh membeli ubat untuk sakit yang dialami, dengan harapan dapat bekerja dengan baik keesokan hari, mencari rezeki di bumi orang. Bagaimana pula agaknya nasib kaum Rohingya yang belum tentu pekerjaan mereka di sini, yang belum tentu layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan di sini?



Wardah bt Abdul Rahman
Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...