Israel kritik UNHRC
TEL AVIV - Israel mengkritik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHRC) kerana kononnya melantik ahli jawatankuasa siasatan yang bersikap berat sebelah dalam menyiasat insiden serangan tentera Zionis itu ke atas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei lalu.
Seorang pegawai kerajaan rejim itu menuduh ketiga-tiga pakar yang dilantik akan memberikan laporan yang lebih memihak kepada kumpulan anti-Israel yang menguasai UNHRC.
"Kerajaan Israel percaya ketiga-tiga ahli panel tidak akan berlaku adil dalam menjalankan tugas mereka," katanya kepada wartawan AFP, kelmarin.
Pada Jumaat lalu, UNHRC melantik bekas pendakwa raya jenayah perang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Desmond de Silva; hakim dari Trinidad, Karl T Hudson-Phillips dan aktivis hak wanita dari Malaysia, Mary Shanthi Dairiam menyiasat insiden serangan tentera ke atas kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu di perairan antarabangsa.
Tugas utama panel itu adalah menyiasat sama ada serangan berkenaan melanggar undang-undang antarabangsa dan UNHRC menegaskan bahawa ahli jawatankuasa dalam panel yang dilantik akan bersikap objektif dan adil dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
Panel itu dijadualkan menyerahkan laporan siasatan pada pertengahan September ini.