Bayangkan perasaan anda yang masih gagal melupakan saat-saat ketakutan yang berlaku pada masa lalu? Biarpun peristiwa tersebut telah menjangkau lebih 30 tahun, kesannya masih dirasa malah menyeksa jiwa dari hari ke hari. Ini belum lagi gangguan serta mimpi ngeri yang hadir semasa tidur ataupun kegagalan memberi sepenuh tumpuan semasa melakukan satu-satu kerja. Pasti peristiwa tersebut sebenarnya amat menakutkan, ngeri atau mendatangkan ketakutan yang amat pada diri.
Berita Harian bahagian Dunia hari ini, 21 Julai 2009 melaporkan pengalaman trauma yang masih menghantui bekas pengawal di penjara Tuol Sleng atau dikenali juga sebagai S-21. Bekas pengawal tersebut kini adalah antara saksi utama kepada jenayah perang melibatkan penderaan dan pembunuhan lebih 14 000 orang Kemboja yang diselia oleh bekas ketua penjara rejim Pol Pot iaitu Kaing Guek Eav (Duch). Duch adalah pemimpin pertama yang dibicarakan di tribunal jenayah perang daripada 5 pemimpin yang masih hidup dan perbicaraan ke atas Duch (disebut Doik) telah bermula 18 Februari yang lalu.
"Jika saya melihat beliau menaiki sebuah basikal ke arah saya, saya akan mencari tempat untuk melarikan diri dari beliau. Saya amat takutkan beliau. Malah, sekarang juga saya masih takutkannya." Ini adalah petikan kata-kata Him Huay, bekas pengawal yang mengucapkannya sambil menangis.
Bayang-bayang ketakutan akibat kekejaman yang dilakukan oleh Duch ketika rejim Khmer Rouge berkuasa di bawah pimpinan Pol Pot masih menghantuinya hingga kini. Him Huay hanyalah salah seorang individu yang mengalami trauma akibat perilaku kejam komunis. Mujur juga dia adalah pengawal penjara, bukannya mangsa yang tidak bersalah yang ditahan dan dibunuh di dalam penjara S-21 tersebut.
Dalam satu laporan yang lain, dikatakan kanak-kanak di Palestin mengalami trauma perang yang lebih dahsyat dan bakal mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih. Bayangkan saja kanak-kanak seusia 10 tahun tidak lagi menulis 'Apple' untuk A, 'Ball' untuk B tetapi memilih 'Apache' (jenis helikopter tempur yang digunakan Israel ketika menyerang Gaza) untuk A, 'Blood' untuk B, 'Coffin' untuk C dan seterusnya.
Begitu terkesannya perang serta kekejaman yang berlaku hinggakan ia terzahir dalam tindakan kanak-kanak yang baru belajar mengenal dunia...kejamnya perang pada mereka yang masih tinggal..
Wardah bt Abdul Rahman
Pulau Pinang