Baru-baru ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk membantu pelarian Rohingya yang berada di negeri ini mendapatkan kad ataupun pas khas yang dikeluarkan oleh United Nations High Commisioner for Refugees (UNHCR). Saya bersama seorang rakan turut sama terlibat sebagai sukarelawan membantu sepanjang 2 hari proses pengumpulan data mereka dilakukan oleh NGO ini.
Mengapa pelarian Rohingya memerlukan pas UNHCR? Mereka amat memerlukan pas ini untuk mengelak dari ditangkap oleh pihak berkuasa. Dengan adanya pas ini, mereka dapat bekerja dan hidup dengan lebih aman tanpa perlu bimbang akan keselamatan diri mereka. Kad ini tidak menjamin aspek kebajikan, kesihatan atau pendidikan di negara mereka berada kini. Kebanyakan pelarian Rohingya sukar mendapatkan kad ini kerana mereka perlu berulang ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur beberapa kali dan terdapat kes di mana kad mereka masih gagal diluluskan. Melalui bantuan yang dilakukan NGO ini, diharapkan UNHCR dapat membuat perangkaan sebenar jumlah orang Rohingya seterusnya memudahkan permohonan mereka.
Saya turut mengambil peluang bertanya secara langsung kepada orang Rohingya yang datang tentang keadaan sebenar dan sebab mereka melarikan diri dari Myanmar. Kebanyakan mereka memberitahu di sana (Myanmar), mereka tidak dibenarkan bekerja oleh askar junta. Ini menyebabkan mereka berdepan dengan masalah ekonomi serta hidup yang sukar. Boleh dikatakan separuh dari orang Rohingya yang saya jumpa adalah ketua keluarga yang terpakasa meninggalkan isteri serta anak-anak mereka untuk keluar mencari rezeki di negara asing. Mereka datang dengan menaiki bot ataupun melalui jalan darat. Ada juga di kalangan mereka yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand selama beberapa bulan. Dalam tahanan, mereka dimarahi dan dikasari kerana masuk secara haram.
Amalan solat berjamaah di masjid juga dihalang oleh askar Myanmar. Keadaan ini berlaku setiap kali mereka inin bersolat Jumaat ataupun solat berjamaah di waktu malam. Jelas, pihak junta tidak membenarkan orang Rohingya Muslim berkumpul beramai-ramai walaupun hanya untuk beribadah. Hasrat untuk mendirikan masjid tidak dibenarkan malah pembaikan masjid lama yang sedia ada juga dihalang.
Di Myanmar, orang Rohingya hidup dalam satu kelompok dan pergerakan mereka sangat terbatas. Menurut seorang responden, mereka perlu membawa pas yang diberi oleh pihak berkuasa Myanmar ke mana sahaja mereka pergi. Ada yang dihalang bersekolah kerana tidak membawa pas ini! Selain itu, pergerakan mereka ke kampung-kampung bersebelahan dihalang.
Banyak lagi penyiksaan hidup di Myanmar yang diceritakan kepada saya. Masing-masing mempunyai sejarah hidup getir. Ini baru keadaan di negara asal mereka. Di Malaysia, masalah lain pula terpaksa mereka hadapi.
Wardah bt Abdul Rahman
Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)