‘Seorang lagi,’ getus hati saya. Sebentar tadi baru saja saya menolak dengan menggelangkan kepala, tanda tidak mahu memberi apa-apa pada mereka. Bukannya apa, pernah sebelum ini saya datang di tempat yang sama, kanak-kanak itu juga yang datang pada saya, sebelah tangan menghulur surah Yasin kecil, sebelah lagi menghulurkan tangan. Dari jauh, saya terpandang sepasang mata memandang tajam perlakuan kanak-kanak tersebut.
‘Mesti sindiket ni.’ Saya menolak untuk membeli surah Yasin tersebut tetapi mengajak kanak-kanak itu minum bersama di gerai. Lebih baik kenyangkan perut dia daripada memberi duit yang pasti hasilnya belum tentu sampai pada mereka.
Kali ini, kanak-kanak yang lain dan tidak menghulurkan surah Yasin, hanya sepasang tangan kosong dihulur sambil mulut memberi salam. Bertudung hitam, berbaju kurung merah, saya melihat dirinya sepintas lalu. ‘Tak boleh jadi ni.’ Saya berhenti membaca komik Penyiasat Remaja yang baru dibeli di kedai buku terpakai di tingkat atas.
‘Adik duduk sini. Tunggu kakak,” kata saya padanya. Radieah yang sedari tadi bersama saya di perhentian bas bazaar Chowrasta duduk menemani kanak-kanak tersebut.
Saya ke kedai terdekat, membeli sekotak kecil susu Dutch Lady coklat. Mata meliar lagi, mencari roti, kalau-kalau ada dijual tetapi tiada. Akhirnya, saya mencapai sebungkus keropok ikan Terengganu.
Kembali ke perhentian bas, air kotak dan keropok dihulur pada kanak-kanak perempuan tersebut. Kata saya pada dia, ‘Duduk sini, minum susu ni. Nak sihat kena minum’. Sangkaan saya dia akan menerima tetapi sebaliknya. Katanya, ‘Abang belum makan. Saya tak mau makan.’
Oh, dia ada abang rupanya.
Tiba-tiba seorang budak lelaki, memakai T-shirt biru muda, berseluar coklat cerah dan berkopiah putih, datang menuju ke arah kami. Tingginya lebih kurang adik bongsu saya yang berumur 12 tahun.
‘Ini abang.’ Tunjuknya lagi. Apalagi, saya terus minta dia duduk dan makan bersama adiknya. Dia juga menolak. Alasannya, sudah kenyang kerana sudah makan di kedai makan di tingkat atas bazaar.
Bermulalah sesi perkenalan antara saya, Radieah dengan mereka. Bukan bermula dengan nama tetapi latar belakangnya dahulu. Soalan pastinya banyak dari kami. Sesekali ada pegunjung bazaar beralih pandangan melihat kami yang asyik menyoal.
‘Abang tinggal mana? Kat sini buat apa?’
‘Saya tinggal dengan adik di Bagan Ajam. Kami minta sedekah.’
‘Setiap hari datang sini? Mak ayah kerja apa?’
‘Tak la. Hari Jumaat, Sabtu, Ahad saja datang. Mak tak kerja. Kaki sakit, ada kat rumah. Ayah dah meninggal satu tahun.’
‘Datang sini dengan apa?’
‘Ada mak cik hantar. Datang pukul 11 pagi. Balik 4 petang nanti.’
‘Tak takut kena tangkap ke?’
‘Polis tak pernah tangkap. Kami bukan mencuri. Kami tak buat salah.’
‘Abang pandai baca tak?’ Tanya Radieah sambil menunjuk tajuk buku Dilema Melayu yang baru dibelinya.
‘Saya tak pandai baca. Mengaji saja tau. Di Bagan Ajam ada ustaz ajar orang Myanmar. Tak payah bayar apa-apa. Dia selalu bagi baju, seluar. Saya tak boleh belajar sebab sekolah tak boleh masuk, tak ada ic. Belajar tuisyen ada tapi sebulan bayar 50. Duit kami tak cukup jadi tak boleh masuk tuisyen.’
Fasih kanak-kanak ini bertutur dalam Bahasa Melayu berbanding adik perempuannya, Rahmahbi yang berumur 8 tahun. Dari perbualan ini juga kami dapat tahu namanya Zubir, berusia 9 tahun.
Alhamdulillah, syukur apabila mengetahui ada insan mulia yang sudi mengajar mereka yang muda ini mengenal agama. Sekurang-kurangnya, agama juga yang mula membentuk akhlak mereka, memberi panduan tentang cara dan had batasan untuk berhidup serta memberi keyakinan pada mereka tentang rezeki itu milik Tuhan.
Tersentuh juga bila mendengar kanak-kanak seusia ini belum pandai membaca. Bagaimana dengan masa depannya nanti? Bila ditanya tentang cita-cita, buruh binaan menjadi pilihan Zubir. Katanya lagi, ‘Saya tak boleh kerja tinggi-tinggi’. Mungkin dia faham dengan status dirinya yang bukan berstatus warganegara dan tidak mempunyai banyak peluang dari segi pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
Saya dan Radieah sepakat untuk membeli buku untuk Zubir dan adiknya. Kami bergegas ke Mydin yang hanya terletak di seberang jalan. Kami membeli dua buah buku ABC, dua buah buku mewarna, dua kotak pensel warna, enam batang pensel beserta pemadam dan pengasah pensel. Selain itu, saya turut membeli beberapa buah buku tulis berkotak. Saya teringat kaedah ibu saya mengajar sebelum saya bersekolah tadika. Setiap kotak ditulis dengan abjad atau suku kata tertentu dan saya akan berulang kali menulisnya semula. Saya juga ingin melakukan perkara yang sama pada mereka.
Selesai sahaja membeli buku dan alat tulis, kami kembali ke perhentian bas mencari Zubir. Pada awalnya Zubir melarikan diri beberapa kali sebaik sahaja kami cuba menghampirinya. Menurut adik Zubir, abangnya risau kami akan menangkapnya. Kasihan Zubir. Dia salah faham dengan niat kami yang datang mencarinya semula.
‘Adik, bagitau Zubir, kakak dah nak balik. Tapi kakak nak jumpa Zubir dulu. Sekejap saja, bukan nak tangkap dia,’ pesan kami pada Rahmahbi.
Tidak lama selepas itu, Zubir muncul tapi riak risau di mukanya belum hilang. Sambil memegang bahunya saya berkata, ‘Kakak dah nak balik. Kakak nak bagi Zubir buku tau’. Riak mukanya nyata berubah selepas itu.
‘Kakak, kakak, saya nak juga.’
‘Kakak, kakak, saya nak warna.’
‘Kakak, kakak, saya pun tak tau baca.’
‘Alamak, tak cukup ni.’ Masing-masing mahukan buku tulis dan pensel warna. Kami membahagikan dulu buku dan alatan yang telah dibeli pada Zubir, Rahmahbi, Husin, Nur dan seorang lagi kanak-kanak perempuan. Selepas itu Radieah pergi ke Mydin membeli tiga lagi buku warna beserta pensel warna.
Saya hanya membayangkan mereka ini pasti tidak pernah memiliki alat tulis sedangkan dalam usia sebegini, saya dahulu boleh dikatakan ‘mewah’ dengan alat tulis dan buku-buku tulis. Belum lagi dicampur dengan buku mewarna dan buku cerita yang boleh dikatakan bertukar hampir setiap bulan.
Bagaimana pula dengan kehidupan keluarga? Pasti juga jauh berbeza dari mereka. Pasti lebih beruntung. Tidak perlu datang ke tengah-tengah bandar ini sedari pagi, tidak perlu menadah tangan meminta simpati, tidak perlu rasa risau ditangkap, tidak perlu berfikir adakah perut akan terisi untuk hari ini. Kehidupan mereka sebagai kanak-kanak sepatutnya menyeronokkan, penuh dengan warna-warni alam kanak-kanak dan bukan seperti yang saya lihat sekarang.
Mungkin dengan pemberian buku ini, mereka dapat merasa sedikit sebanyak kehidupan seorang kanak-kanak. Mungkin juga daripada buku ini, tertanam azam untuk mereka berjaya dan mengubah nasib satu hari nanti. Mudah-mudahan buku ini membawa kegembiraan dan semangat baru kepada mereka sepertimana yang saya lihat di wajah mereka ketika itu. Pesan dan janji saya pada mereka, ‘Balik, buat latihan tiap-tiap hari. Belajar menulis dari buku ni. Biar tiap-tiap tulis, tiap-tiap hari jadi pandai. Minggu depan, pagi Sabtu, cari kakak di tempat ni. Kakak akan datang semak buku dan ajar adik-adik.’
Sabtu ini seperti Sabtu minggu lalu, saya akan ke Chowrasta lagi, untuk mengotakan sebuah janji dan melihat senyum mereka lagi.
*Kanak-kanak yang saya jumpa adalah anak-anak pelarian Rohingya. Mereka fasih bercakap dalam bahasa Myanmar dan bahasa Melayu. Mereka tahu tentang solat dan boleh membaca al-Quran tetapi gagal membaca tulisan berhuruf Roman. Daripada maklumat yang saya perolehi, kebanyakan mereka tinggal di Bagan Ajam dan Kepala Batas. Tiada sindiket yang mempergunakan mereka tetapi mereka sendiri yang berusaha membeli surah Yasin yang berharga 80 sen dan menjualnya semula dengan harga RM1. Kanak-kanak seperti Zubir dan Rahmahbi pula meminta simpati dengan menghulurkan tangan pada pengunjung bazaar Chowrasta. Mereka mampu memperoleh antara RM15-RM20 sehari. Duit yang diterima digunakan untuk belanja makan tengahri dan bakinya dibawa pulang untuk diberi pada ibu di rumah.
Wardah bt Abdul Rahman
USM, Pulau Pinang.
Ini adalah pengalaman sebenar saya yang berlaku semasa saya dan Radieah menunggu kedatangan rombongan lawatan beliawanis dan Nisa’ dari Kuala Selinsing, Kelantan ke bazaar Chowrasta, Pulau Pinang pada pagi Sabtu,31 Oktober.