Lagu Nasyid Jihad


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

...Palestine Will Be Free...(Maher Zain)

Friday, May 15, 2009

Seketika bersama pelarian Rohingya di Pulau Pinang

Di Malaysia, secara keseluruhannya terdapat 46 ribu orang pelarian dan kira-kira 14 700 orang daripada mereka terdiri daripada pelarian Rohingya yang menghadapi masalah pengiktirafan kewarganeraan di negara asal mereka, Myanmar. Daripada jumlah ini pula, dianggarkan 500 pelarian Rohingya menetap dan bekerja di Pulau Pinang.

Baru-baru ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk membantu pelarian Rohingya yang berada di negeri ini mendapatkan kad ataupun pas khas yang dikeluarkan oleh United Nations High Commisioner for Refugees (UNHCR). Saya bersama seorang rakan turut sama terlibat sebagai sukarelawan membantu sepanjang 2 hari proses pengumpulan data mereka dilakukan oleh NGO ini.

Mengapa pelarian Rohingya memerlukan pas UNHCR? Mereka amat memerlukan pas ini untuk mengelak dari ditangkap oleh pihak berkuasa. Dengan adanya pas ini, mereka dapat bekerja dan hidup dengan lebih aman tanpa perlu bimbang akan keselamatan diri mereka. Kad ini tidak menjamin aspek kebajikan, kesihatan atau pendidikan di negara mereka berada kini. Kebanyakan pelarian Rohingya sukar mendapatkan kad ini kerana mereka perlu berulang ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur beberapa kali dan terdapat kes di mana kad mereka masih gagal diluluskan. Melalui bantuan yang dilakukan NGO ini, diharapkan UNHCR dapat membuat perangkaan sebenar jumlah orang Rohingya seterusnya memudahkan permohonan mereka.

Saya turut mengambil peluang bertanya secara langsung kepada orang Rohingya yang datang tentang keadaan sebenar dan sebab mereka melarikan diri dari Myanmar. Kebanyakan mereka memberitahu di sana (Myanmar), mereka tidak dibenarkan bekerja oleh askar junta. Ini menyebabkan mereka berdepan dengan masalah ekonomi serta hidup yang sukar. Boleh dikatakan separuh dari orang Rohingya yang saya jumpa adalah ketua keluarga yang terpakasa meninggalkan isteri serta anak-anak mereka untuk keluar mencari rezeki di negara asing. Mereka datang dengan menaiki bot ataupun melalui jalan darat. Ada juga di kalangan mereka yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand selama beberapa bulan. Dalam tahanan, mereka dimarahi dan dikasari kerana masuk secara haram.

Amalan solat berjamaah di masjid juga dihalang oleh askar Myanmar. Keadaan ini berlaku setiap kali mereka inin bersolat Jumaat ataupun solat berjamaah di waktu malam. Jelas, pihak junta tidak membenarkan orang Rohingya Muslim berkumpul beramai-ramai walaupun hanya untuk beribadah. Hasrat untuk mendirikan masjid tidak dibenarkan malah pembaikan masjid lama yang sedia ada juga dihalang.

Di Myanmar, orang Rohingya hidup dalam satu kelompok dan pergerakan mereka sangat terbatas. Menurut seorang responden, mereka perlu membawa pas yang diberi oleh pihak berkuasa Myanmar ke mana sahaja mereka pergi. Ada yang dihalang bersekolah kerana tidak membawa pas ini! Selain itu, pergerakan mereka ke kampung-kampung bersebelahan dihalang.

Ramai di antara orang Rohingya yang bercerita tentang kerja paksa yang mereka lakukan. Pada bila-bila masa, askar Myanmar gemar masuk ke kampung-kampung mereka dan memaksa golongan lelaki menjadi buruh paksa tanpa dibayar gaji. Ada juga yang pernah diperas ugut untuk menyerahkan ternakan ataupun sebarang harta yang ada di dalam rumah mereka.

Banyak lagi penyiksaan hidup di Myanmar yang diceritakan kepada saya. Masing-masing mempunyai sejarah hidup getir. Ini baru keadaan di negara asal mereka. Di Malaysia, masalah lain pula terpaksa mereka hadapi.

Terdapat satu kes di mana lelaki Rohingya ini, Harun namanya (seingat saya) masuk secara sah ke Malaysia 15 tahun dahulu. Dia masih mempunyai salinan permit imegresen yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia. Walau bagaimanapun, dia gagal memperbaharui permit tersebut kerana karenah pegawai yang makan rasuah. Kisahnya diceritakan secara terperinci kepada saya. Hingga kini sudah 5 kali dia ditahan pihak berkuasa Malaysia. Dia pernah dipenjara dan pernah juga dipaksa memberi rasuah agar dilepaskan.

Rohingya adalah pelarian, bukannya pendatang kerana mereka masuk ke negara jiran akibat tekanan berada di negara asal yang 'membuang' etnik ini. Walaupun ada sebilangan kecil yang bergama Buddha, Rohingya adalah etnik minoriti yang majoritinya beragama Islam. Mereka sering menghadapi masalah dengan pihak berkuasa di sini kerana tiada kad UNHCR bukannya kerana masalah jenayah. Syukur, kita tidak berada di tempat mahupun di negara asal mereka. Mudah-mudahan sedikit bantuan yang diberikan bakal meringankan masalah mereka di sini.



Wardah bt Abdul Rahman
Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...