Awal bulan ini, akhbar-akhbar di bahagian sisipan ‘Dunia’ telah memaparkan beberapa berita berkenaan pelarian Rohingya. Di celahan berita penindasan umat Islam di Palestin, sedarkah kita ada juga umat Islam di negara lain yang turut sama ditindas? Siapa sebenarnya mereka? Mengapa mereka kerap kali melarikan diri dari negara sendiri sehelai sepinggang dan apakah sebabnya?
- Rohingya sebenarnya adalah kumpulan etnik beragama Islam yang melarikan diri daripada penindasan pihak junta tentera di Myanmar.
- Mereka adalah kumpulan minoriti Islam yang kerap melarikan diri dari wilayah Rakhaine di barat laut Myanmar menuju ke Bangladesh terutamanya.
- Mereka terpaksa berdepan dengan risiko maut atau hilang dalam cubaan melarikan diri melalui laut ke negara-negara seperti Malaysia , Indonesia dan Singapura.
- Ratusan ribu orang Rohingya kini terpaksa tinggal di sempadan Bangladesh dan tidak dapat masuk ke Myanmar kerana kerakyatan mereka dinafikan di samping hak asasi mereka dicabul. Mereka dipaksa menjadi buruh tanpa gaji dan pergerakan dihalang. Terdapat juga dakwaan rogol, bunuh dan seksaan lain berlaku.
- Seandainya mereka kembali ke Myanmar, kediaman mereka telah dimusnahkan.
- Di Bangladesh terdapat kira-kita 200 000 pelarian yang menetap secara haram di negara tersebut. 21 000 orang lagi ditempatkan di dua kem pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di persisiran pantai Cox’s Bazar.
- 4 Februari 2009 yang lalu, tentera laut Indonesia telah menyelamatkan 198 pelarian bot yang dikesan di pantai Acheh. 22 penumpang telah mati sepanjang pelayaran mereka dari Thailand. Mereka telah terapung selama 3 minggu dalam bot tanpa enjin dan tidak dibekalkan dengan makanan atau minuman secukupnya.
- Pihak berkuasa Thailand dilaporkan telah mendera pelarian Rohingya yang ingin meminta suaka politik dan mendarat di Thailand selepas didakwa melarikan diri dari Myanmar dan Bangladesh.
- Terdapat juga dakwaan lain yang mengatakan mereka adalah antara 1000 orang Rohingya yang dikesan bekerja secara haram di Thailand. Mereka kemudiannya dipaksa meninggalkan Thailand dengan menaiki 9 bot tanpa enjin Disember lalu.
- Sebelum dihanyutkan tentera Thailand, mereka mendakwa telah dipukul serta didera oleh tentera Thailand.
- Anggota perubatan Indonesia mengesahkan terdapat kesan luka dan sebatan pada tubuh badan pelarian terbabit dan besar kemungkinannya mereka telah dipukul dengan objek tumpul selari dengan dakwaan mereka didera tentera Thailand.
- Indonesia menganggap pelarian Rohingya yang dihanyutkan Thailand sebagai ‘pelarian ekonomi’ dan tujuan mereka melarikan diri dari negara asal adalah disebabkan ekonomi.
- Pada masa yang sama, kerajaan Myanmar membalas mengatakan pelarian Rohingya yang hanyut di dalam bot bukanlah dari negara mereka kerana Rohingya tidak tersenarai dalam 100 kumpulan etnik yang diiktiraf oleh Myanmar.
- Orang Rohingya kebanyakannya tidak sanggup kembali ke negara asal mereka malah lebih rela mati daripada dihantar pulang ke Myanmar.
Sedar dan insaflah, saudara seagama kita, orang-orang Rohingya telah tertindas sekian lama. Jika tidak masakan kebanyakannya mereka sudah serik dan tidak sanggup dihantar pulang ke Myanmar bahkan mereka yakin dengan penyeksaan yang bakal mereka hadapi nanti. Orang Rohingya ini sanggup bergadai nyawa dalam usaha mencari perlindungan dari negara-negara luar. Sampai bilakah penindasan dan tekanan ke atas umat Islam Rohingya akan berakhir? Mereka ‘terbuang dari negara sendiri’.
Wardah bt Abdul Rahman
Minden, Pulau Pinang.
Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)