Pembunuhan kejam lebih 1.7 juta penduduk Kemboja (Champuchea) pada zaman pemerintahan Pol Pot kini kembali diperkatakan. Terbaru, seorang daripada 5 pemimpin kanan Pol Pot mula dibicarakan di Mahkamah Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas jenayah perang yang dilakukan. Kaing Guek Eav, seorang bekas guru Matematik pernah menjadi ketua penjara Tuol Seng yang terkenal dengan seksaan dan deraan ke atas tahanan yang tidak bersalah. Penjara Tuol Seng atau ‘Security Prison’ (S-21) sekarang telah dijadikan muzium bagi memperingati kekejaman yang pernah berlaku sepanjang pemerintahan singkat Pol Pot sekitar tahun 1975-1979.
Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar telah membawa idea komunis ke dalam negara Kemboja dan mengetuai gerakan komunis Kemboja tersebut yang turut dikenali dengan nama Khmer Rouge (Khmer=etnik Kemboja, Roudge=merah dalam bahasa Perancis yang turut memberi simbol Komunis). Pada zaman pemerintahannya, Pol Pot mengerahkan perlaksanaan falsahah agragian (pertanian). Malangnya, idea ini hanya membawa kepada kemusnahan jiwa kepada kira-kira 26% dari jumlah rakyat Kemboja yang terpaksa menjadi buruh paksa, menghadapi kebuluran, dijangkiti penyakit serta diseksa ketika itu.
Kemboja ketika itu mempunyai rakyat yang terdiri daripada penganut Buddha, Islam (penduduk Champa) dan golongan animisme. Penting untuk kita ketahui bahawa, ketika zaman pemerintahan Pol Pot, pemimpin-pemimpin agama, golongan bijak pandai serta orang yang berpendidikan diseksa dan dibunuh. Tidak terkecuali kaum Muslim Champa yang tinggal di Kemboja. Mereka dilarang menyimpan kitab-kitab agama malah perlaksanaan ibadah seperti sembahyang dan puasa juga dilarang.
Lihat saja video-video penyeksaan serta paksaan yang dilakukan terhadap penduduk Kemboja, akan timbul rasa benci pada kekejaman oleh pihak komunis Khmer Rouge. Dengan hanya ber'uniform' hitam dan lilitan kain merah di kepala, kanak-kanak dipisahkan dari ibu bapa yang dikerah bekerja membuka tanah baru. Anak-anak yang masih kecil ini turut diajar untuk membenci ibu bapa. Penduduk Kemboja lebih-lebih lagi golongan berpendidikan dibunuh sewenang-wenangnya hinggakan yang memakai cermin mata turut dianggap lebih berpengetahuan dan dibunuh!
Jelas, ideologi komunis yang mengenepikan rasa bertuhan yang dipegang hanya mengarah kepada tindakan keganasan yang amat tidak berperikemanusiaan.
Wardah bt Abdul Rahman
Minden, Pulau Pinang.Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)
http://skuad-penyelamat-aqidah.blogspot.com/
://www.youtube.com/watch?v=1-SI8RF6wDE
Cambodian Genocide - What really happened
Khmer Rouge Genocide