Kematian presiden LTTE, Veluppillai Prabhakaran,55 tahun memberi gambaran seolah-olah konflik yang telah sekian lama wujud di Sri Lanka bakal berakhir. Konflik perkauman di Sri Lanka umumnya melibatkan kumpulan majoriti, Sinhala yang menguasai pentadbiran dan pemerintahan Sri Lanka dengan puak pemberontak yang bergerak secara gerila melalui LTTE (Pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam). Sinhala kebanyakannya beragama Buddha manakala LTTE pula mewakili golongan Tamil minoriti yang tinggal di utara dan timur Sri Lanka. Pada penghujung Mei yang lalu, LTTE yang diasaskan pada 1976 telah berjaya ditumpaskan melalui tindakan ketenteraan oleh kerajaan Mahindra Rajapakse.
Menelusuri sejarah LTTE, penubuhannya adalah atas desakan untuk membela etnik Tamil dan mendirikan negara sendiri di timur laut Sri Lanka, khusus untuk warganegara Sri Lanka tersebut yang didakwa telah ditindas oleh kaum Sinhala. Konflik mereka telah bermula sejak Sri Lanka memperoleh kemerdekaan dari pihak British pada tahun 1948 lagi. Walaupun sebelum merdeka kedua-dua pihak Sinhalis dan Tamil bersatu, kerjasama mereka tidak dapat dikekalkan selepas merdeka. Antara sebab utama adalah sikap diskriminasi pihak kerajaan Sinhalis dalam dasar-dasar kerajaan untuk memperbaiki tahap sosio-ekonomi penduduk. Antara tindakan diskriminasi tersebut adalah :
* Kaum Tamil tidak diberi peluang yang sepatutnya sehingga wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka. Perkara ini termasuklah penyebaran agama Budha dan penguatkuasaan bahasa Sinhala sebagai bahasa rasmi pada tahun 1930-an sedangkan janji asal yang dimetrai bersama kaum Tamil sebenarnya turut melibatkan bahasa Tamil. (Perjanjian tersebut membabitkan pengajaran bahasa Tamil kepada kanak-kanak Tamil dan sebaliknya).
* Penggunaan slogan “Sinhalese Only” yang mana kakitangan kerajaan dari kaum Tamil dipaksa mempelajari bahasa Sinhala dalam masa tiga tahun atau dipecat daripada jawatan mereka. (Polisi ini menjadikan sektor awam bukan lagi pilihan kaum Tamil untuk mendapatkan pekerjaan).
* Pengambilan pekerja daripada kaum Sinhalis turut merebak ke dalam sektor-sektor lain seperti pengangkutan, perindustrian, profesional dan teknikal serta pentadbiran dan pengurusan. (Peluang pekerjaan untuk kaum Tamil semakin tipis).
Pelaksanaan kuota bagi pendidikan tinggi menyebabkan pelajar kaum Tamil di universiti-universiti awam begitu sedikit terutama di dalam bidang-bidang kritikal seperti sains, kejuruteraan dan perubatan.
* Perlindungan khas terhadap agama Budha di dalam perlembagaan negara menjadi titik tolak penentangan daripada penganut agama lain khususnya di kalangan Tamil.
* Pihak kerajaan Sri Lanka juga melaksanakan pemindahan kaum secara besar-besaran sebagai strategi penindasan kaum minoriti. (Kaum Tamil misalnya dipindahkan ke bahagian utara dan timur Sri Lanka menyebabkan mereka mudah bersatu).
LTTE bukanlah sebarangan kumpulan pemberontak. Mereka mempunyai organisasi yang tersusun serta pasukan marin dan udaranya sendiri dan jumlah askar dikatakan mencapai 15 000 pada penghujung tahun lepas. Tidak hairanlah jika konflik di Sri Lanka ini sukar diredakan walaupun berdepan secara langsung dengan tindakan pemerintah dan pada 2006, Kesatuan Eropah menyatakan LTTE adalah pengganas disebabkan penentangan ke atas pemimpin kerajaan serta serangan berani mati yang kerap dilakukan oleh mereka. Harun Yahya di dalam tulisannya pernah mengatakan akibat tindakan kumpulan pemisah LTTE ini turut mendatangkan kepayahan kepada ramai umat Islam yang berada di bahagian utara dan timur Sri Lanka. Sebahagian kecil kaum Sinhala pula sudah mula memerangi umat Islam yang juga kaum minoriti di Sri Lanka.
LTTE di Sri Lanka memilih perjuangan menuntut hak melalui kekerasan selepas usaha menuntutnya secara baik tidak dipandang oleh pihak kerajaan. Sebagaimana gerakan pemisah di bahagian lain dunia (Filipina, Thailand, Bosnia dan sebagainya), penindasan ke atas etnik, bangsa, budaya serta agama menjadi sebab utama kebangkitan mereka. Mereka bangkit dari sejarah dan cuba mengolah sejarah yang baru. Kita sebagai pihak pemerhati perlu adil dalam menilai sesuatu gerakan pemisah serta label pengganas yang diberikan kepada mana-mana kumpulan pemberontak ataupun kumpulan pemisah di dunia. Sikap pesimis yang hanya memberi labelan pengganas kepada pejuang Islam mesti dielakkan.
Wardah bt Abdul Rahman
Aktivis SPAQ, Pulau Pinang