Lagu Nasyid Jihad


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

...Palestine Will Be Free...(Maher Zain)

Wednesday, March 25, 2009

'Abang Nombor Satu' Khmer Merah


Saloth Sar, bukanlah suatu nama yang sinonim dengan masyarakat Kemboja sebelum bermulanya era Khmer Rouge. Beliau bukannya seorang pemimpin terkenal dalam masyarakat apatah lagi menjawat jawatan menteri kerajaan dan sebagainya pada zamannya. Namanya juga tidak semegah Jeneral Lon Nol yang mengambil alih pemerintahan Kemboja dari Raja Sihanouk malah jika disebut namanya ketika itu, pasti ramai yang menggelengkan kepada menandakan tidak tahu-menahu mengenainya.

Pol Pot atau nama sebenarnya, Saloth Sar dilahirkan dalam keluarga yang berada pada 19 Mei 1925 di Kompong Thong, Kemboja. Dalam usia yang muda, beliau telah mempelajari asas-asas agama Buddha di kuil dan menerima pendidikan yang lebih rasmi di beberapa sekolah berbahasa Perancis(antara kesan penjajahan Perancis ke atas Kemboja, sistem dan sukatan pelajaran diajar mengikut Perancis). Permulaan fahaman komunisma dalam hidup Pol Pot bermula dengan penyertaannya ke dalam Parti Komunis Indochina Ho Chi Minh pada tahun 1946. Pada tahun 1949 pula, beliau ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang keelektrikan radio di Paris.

Pol Pot pernah disifatkan sebagai seorang yang sopan, baik dan ‘banyak berfikir tetapi kurang bercakap’ oleh mereka yang mengenalinya. Di Paris, Pol Pot menyertai Parti Komunis Perancis dan mula taksub dengan fahaman komunis Marx serta revolusi sosialisma. Beliau mula membina Persatuan Pelajar Kemboja(Association of Khmer Students) yang mendokong kuat idea komunisma dan pernah mengeluarkan risalah bertajuk ‘Monarki atau Demokrasi?’. Melalui tulisannya, Pol Pot menyeru supaya pemerintahan monarki Kemboja digantikan dengan pemerintahan berbentuk demokrasi yang didakwanya tiada tandingan malah lebih suci daripada pemerintahan monarki. Kelompok pelajar yang digelar sebagai ‘kumpulan pelajar Paris’ inilah yang menjadi pemimpin Khmer Rouge nanti.

Pada tahun 1953, Pol Pot gagal meneruskan pelajaran apabila biasiswa yang diterimanya ditarik balik. Akibatnya, beliau terpaksa pulang dan membawa bersama ‘idea pembaharuan’ yang ingin dilaksanakan di Kemboja. Pada tahun yang sama juga, Kemboja berjaya memperoleh kemerdekaan penuh hasil usaha Raja Norodom Sihanouk. Walau bagaimanapun, negara Kemboja belum sepenuhnya stabil kerana turut terkesan dengan peperangan yang sedang belaku di negara jirannya, Vietnam.

Sekembalinya Pol Pot ke Kemboja, beliau bekerja sebagai guru di sekolah swasta untuk menyara kehidupan di samping terus melibatkan diri dengan Parti Revolusi Rakyat Kampuchea iaitu satu daripada tiga unit kecil yang diwujudkan oleh Parti Komunis Indochina yang pernah dianggotainya dan didominasi oleh orang Vietnam. Pada masa yang sama, Pol Pot cuba membina hubungan dengan pihak komunis Vietnam. Kira-kira tuhuh tahun kemudian, Pol Pot dan ‘kumpulan pelajar Paris’ mengambil alih Parti Revolusi Rakyat Kampuchea dan menukarkannya kepada Parti Pekerja Kampuchea. Nama parti ini sekali lagi ditukar kepada Parti Komunis Kampuchea atau dikenali juga sebagai Khmer Rouge manakala ‘Angkar’ pula merujuk kepada kelompok pemimpin Khmer Rouge. Pergerakan mereka dilakukan di dalam hutan dan kebanyakan ahli awal Khmer Rouge terdiri daripada golongan petani dan peladang.

Pada tahun 1970, pemerintahan Raja Sihanouk berakhir apabila pemerintahan Kemboja dirampas dan digantikan oleh pemerintahan tentera oleh Jeneral Loh Nol yang menerima bantuan dari Amerika Syarikat. Kesannya, pengikut Raja Norodom Sihanouk terpaksa bergabung dengan musuh asal mereka iaitu Khmer Rouge agar pemerintahan tentera yang baru dapat ditumbangkan. Selain itu, Khmer Rouge juga menjadi pilihan kepada penduduk utara Vietnam yang menjadi mangsa serangan Amerika Syarikat dan mencari perlindungan di dalam hutan.

Konflik Amerika Syarikat-Vietnam dalam Perang Vietnam atau Perang Indochina berakhir pada tahun 1975 apabila Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya dari Vietnam. Secara tidak langsung, pemerintahan tentera yang sedang berlangsung di Kemboja mula kehilangan pengaruh dan sokongan apabila rakan sekutunya itu berundur. Akhirnya pada tanggal 17 April 1975, tentera Khmer Rouge di bawah pimpinan Pol Pot mengambil kesempatan menyerang dan menawan Kemboja.

Sepanjang 5 tahun(1975-1979) Kemboja diperintah oleh Khmer Rouge, lebih dari suku penduduk Kemboja dibunuh akibat kepincangan ideologi dan sikap pemimpin-pemimpinnya. Kesan pembunuhan kira-kira 2 juta rakyat Kemboja pada era tersebut dibuktikan dengan penemuan tengkorak dan tulang-tulang manusia di kawasan Ladang Pembunuhan (The Killing Field) hinggakan tempat ini diangkat menjadi judul filem yang menceritakan pengalaman mangsa yang terselamat. Penjara Tuol Sleng atau S-21 pula menjadi saksi kepada penyeksaan yang dilakukan terhadap tahanan yang disyaki menjadi musuh politik kepada pemerintahan Pol Pot.

Pol Pot atau 'abang nombor satu' ini sememangnya tidak banyak mendedahkan diri kepada umum berbanding pemimpin Khmer Rouge yang lain tetapi idea revolusi pertanian yang dibawanya mendapat sambutan hangat dan didokong penuh oleh ahli Khmer Rouge. Walau bagaimanapun, di sebalik falsafah yang dibawa, kita akan melihat satu persatu kepincangan yang wujud dan kesannya yang mulai timbul apabila revolusi pertanian ini cuba dilaksanakan. Nantikan artikel yang akan datang.
Wardah bt Abdul Rahman
Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)

Tuesday, March 10, 2009

Guantanamo-agenda 'polis dunia' Amerika Syarikat



Ahad lalu, Utusan Malaysia menyiarkan berita berkenaan penyeksaan yang berlaku ke atas tahanan yang berada di Teluk Guantanamo, Cuba. Mungkin masih ada dalam kalangan kita yang tidak menyedari akan wujudnya sebuah kem tahanan yang dikawal oleh negara ‘polis dunia’ ini, Amerika Syarikat. Sebenarnya penyeksaan serta layanan buruk ke atas tahanan di kem Guantanamo adalah suatu perkara yang telah sinonim dengannya buat sekian lama. Walau bagaimanapun, pendedahan yang dilakukan oleh seorang bekas tahanan penjara Guantanamo baru-baru ini telah mengejutkan ramai pihak. Aktiviti kejam yang berlangsung di dalamnya dilaporkan semakin buruk! Walhal sedari awal tampuk Presiden Amerika Syarikat ditukar dari George W. Bush kepada Barrack Obama, Obama telah berjanji untuk menutup kem tahanan yang penuh kontroversi ini.


George W. Bush ketika zamannya pernah juga didesak supaya menutup kem tahanan Guantanamo yang didakwa menempatkan ‘pengganas-pengganas’, ‘pejuang musuh’ ataupun penjenayah perang yang ditangkap dari negara Iran dan Afghanistan. Selain mereka, turut termasuk dalam senarai tahanan ialah beberapa etnik Uyghur dari China. Sungguhpun desakan yang diterima bukan sahaja dari organisasi-organisasi yang memperjuang hak asasi dari negara-negara luar bahkan dari dalam Amerika Syarikat sendiri, kem tahanan tersebut tidak pernah ditutup malah langsung tiada usaha yang dilakukan oleh Bush untuk menutupnya. Sebaliknya, alasan demi alasan diberikan untuk membenarkan jenayah kejam yang berlaku di sebalik jaring dan dinding-dinding batu kem Guantanamo diteruskan.


Obama semasa berkempen untuk pilihanraya Amerika Syarikat telah berjanji untuk menutup kem tersebut dan selepas dua hari mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden, beliau telah mengumumkan keputusan untuk menutup penjara itu. Penutupan yang diarahkan tidak dapat berlaku dalam masa yang singkat dan masa setahun diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut. Rupa-rupanya, pada masa masyarakat dunia gembira menyambut berita penutupan kem tersebut, perkara sebaliknya berlaku di dalam kem tahanan. Pengawal dan penyiasat di kem Guantanamo menggandakan penyeksaan mereka dengan alasan ‘membalas dendam buat kali terakhir’ sebelum kem ditutup.


Sejarah Kem Tahanan Teluk Guantanamo bermula kira-kira 6 tahun lepas apabila kumpulan pertama 20 tahanan dari Afghanistan tiba ke kem tersebut. Sejak daripada itu, jumlah tahanan yang dimasukkan semakin meningkat hingga mencapai 490 orang. Mereka yang ditahan hanya disyaki sebagai pengganas atau mendalangi serangan-serangan ganas seperti Peristiwa 11 September, Pengeboman Bali dan mereka sebenarnya ditangkap tanpa dibicarakan di mahkamah hinggakan ada di antara mereka yang tidak menyedari tuduhan kesalahan tersebut! (Adilnya negara polis ini bertindak). Penahanan mereka juga jelas melanggar Perjanjian Geneva berkenaan hak tahanan perang.


Selain itu, sungguhpun kem Guantanamo mula dihuni pada tahun 2002, hanya pada 3 Mac 2006 maklumat berkenaan nama dan kerakyatan tahanan dikeluarkan. Itupun selepas Pentagon disaman oleh Associated Press di bawah Akta Kebebasan Maklumat. Di manakah keadilan Amerika Syarikat dalam cubaan mengadili ‘penjenayah’ ini sedangkan maklumat asas tahanan pun sangat dirahsiakan?


Perhatian dunia kembali terarah apabila pertama kalinya pada 11 Jun 2006, tiga tahanan Arab membunuh diri semasa masih di dalam tahanan. Sebelum itu, mereka dilaporkan telah menyertai mogok lapar bagi membantah penahanan tanpa bicara yang dilakukan Amerika Syarikat. Malah ada di antara tahanan telah melancarkan mogok lapar hampir dua tahun. Persoalan baru mula timbul di benak masyarakat tentang tujuan mereka bertindak sedemikian. Cuba lihat dahulu beberapa seksaan dan deraan yang dilakukan ke atas tahanan di Guantanamo:


-Tahanan dibogelkan sesuka hati
-Memindahkan tahanan dari satu bilik ke satu bilik sesuka hati tanpa mengira masa bagi mengelakkan mereka tidur.
-Tahanan dipakaikan jumpsuit jingga, kepala ditutup dan kaki dirantai besi
-Merantai tahanan di dalam blik dan hanya diberi makan roti dan air selama 17 hari
-Dikurung di dalam bilik sempit yang hanya diterangi oleh cahaya lampu.
-Mendedahkan tahanan dengan muzik yang kuat untuk menghalang mereka tidur dan berkomunikasi
-Mengikat tahanan yang melakukan mogok lapar di kerusi dan memberi makan melalui tiub yang dimasukkan ke dalam hidung secara paksa
-Dikurung bersendirian dan ditahan dari mendapat udara segar selama 23 jam sehari selama berbulan-bulan.
-Dikurung di dalam bilik penjara yang tidak mempunyai tingkap


Hasil tekanan berbentuk fizikal dan penderaan jiwa ini menyebabkan tahanan berhadapan dengan masalah kesihatan jiwa, agorafobia (risau terhadap ruang yang besar dan persekitaran baru), kurang daya ingatan, kurang daya untuk bertindak balas malah tidak mustahil mereka mungkin akan mudah terdorong untuk membunuh diri.


Kewujudan Kem Tahanan Guantanamo dilihat sebagai suatu tindakan jenayah terancang yang berselindung di sebalik penguatkuasaan undang-undang. Tindakan Amerika Syarikat mengangkat diri untuk menjadi ‘polis dunia’ amat menjengkelkan hinggakan tribunal untuk membicarakan suspek-suspek pengganas turut disifatkan sebagai tidak bermoral dan mencemar perlembagaan Amerika Syarikat. Walaupun Obama telah berjanji untuk mengubah dasar luar pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, tindakannya terhadap situasi terkini yang berlaku di Kem Tahanan Guantanamo akan terus menjadi perhatian umum.


Wardah bt Abdul Rahman
Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)
http://skuad-penyelamat-aqidah.blogspot.com/

Monday, March 9, 2009

Projek meruntuhkan Masjidil Aqsa



Masjid Al-Aqsa terletak di bandar Al-Quds. Menurut sumber, kedudukan Al-Quds tidak akan dirunding kerana Israel mengakui itu adalah haknya. Bagaimanapun, apakah sensitiviti umat Islam terhadap projek-projek Israel untuk me'yahudi'kan Al-Quds?Dinyatakan, Israel telah bersedia untuk meneruskan projek galian dengan membina 2 buah terowong.


Kedudukan terowong tersebut adalah di bawah Masjid Al-Aqsa. Usaha
Israel yang terkini untuk me'yahudi'kan Al-Quds adalah seiring perintah yang dikeluarkan oleh Pemerintah Israel kepada 55 penduduk Palestin di utara bandar Al-Quds supaya mengosongkan rumah. Di samping itu, laporan berita turut menyiarkan perancangan Israel yang akan membangunkan ribuan perumahan yang baru di Tebing Barat.


Yayasan Al-Aqsa yang bertanggungjawab terhadap harta waqaf dan peninggalan lama telah menyingkap projek Badan-badan pemaju Israel berhubung pembinaan 2 buah terowong baru bawah tanah yang bertujuan menghubungkan kawasan "hayyu al-sharf" dengan kawasan tembok buraq atau dikenali tembok ratapan yang terletak di barat Masjid Al-Aqsa.*Hayyu Al-sharf : asalnya kawasan perumahan penduduk Palestin di bandar lama Al-Quds yang telah dijajah Israel malah penduduknya (arab) telah dihalau pada tahun 1967, kemudian dinamakan kawasan tersebut dengan perumahan yahudi "Hayyu Yahudi".Sumber Palestin menyatakan, terowong pertama memiliki kepanjangan 56 meter, dan yang kedua 22 meter.

Pemerintah Israel juga akan memasang lif bagi tujuan naik-turun untuk memudahkan laluan penduduk Israel dan pelancong asing dari Hayyu Al-Sharf ke tembok buraq dan Masjid Al-Aqsa.Dalam kenyataan itu, yayasan tersebut menyatakan Israel berniat untuk mempercepatkan penguasaan ke atas tembok buraq dan Masjid Al-Aqsa (tahwid) yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan kos projek sebanyak 10 juta sheqel (
matawang Israel), bersamaan USD2.5 juta.Berdasarkan kenyataan daripada yayasan Palestin, projek tersebut akan disempurnakan hasil kerjasama antara Syarikat pembangunan Hayyu yahudi, kementerian arkeologi dan Yayasan Insuran Nasional.
Dinyatakan, projek ini dikendalikan seorang ahli perniagaan Israel, Barokh Klaine. Sumber, 04/03/09 web berita

Sunday, March 1, 2009

Uyghur-Telah Lama Terancam di China


Pernah mendengar perihal masyarakat Uyghur di negara China? Kelompok masyarakat ini tinggal di wilayah Xinjiang atau wilayah autonomi Uyghur yang terletak di barat daya negara China dan merangkumi kira-kira 1 per 6 dari keseluruhan negara China. Lebih dari 8 juta penduduknya beragama Islam dan ini menjadikan wilayah Xinjiang terdiri dari masyarakat majoriti Islam.


Wilayah autonomi Xinjiang dibentuk pada 1 Oktober 1955 oleh Parti Komunis China. Tarikh ini juga bersamaan dengan Hari Kebangsaan negara China yang disambut saban tahun. Sebelum tarikh ini, Xinjiang telah mendapat kemerdekaan mereka dari kerajaan China antara tahun 1944 dan 1949. Wilayah yang diperoleh oleh kaum Uyghur seterusnya dinamakan Republik Turkestan Timur. Hingga kini masih ada negara luar yang gemar merujuk wilayah ini sebagai Turkestan Timur, Turkesten China atau Sin Kiang berbanding wilayah Xinjiang. Kini, wilayah ini bersempadan dengan negara-negara seperti Mongolia, Kazakhstan, Afghanistan, Pakistan dan India.


Perbezaan antara masyarakat China lain dan Uyghur bukan hanya pada majoriti mereka yang beragama Islam tetapi turut melibatkan aspek bahasa, kesenian serta muzik yang berbeza. Bahasa yang dipertuturkan kaum Uyghur dikatakan berasal dari cabang bahasa Turkic iaitu bahasa Ulralo-Altaic. Di bawah Undang-undang Wilayah Autonomi untuk Warganegara Minoriti, kaum Uyghur diberi kebasan untuk menggunakan bahasa entik mereka sendiri dalam mendidik anak-anak, mengamalkan agama serta memperkembangkan budaya mereka. Walau bagaimanapun, pengajaran bahasa dan kebudayaan Uyghur sedikit demi sedikit mula terancam dan terhapus apabila kerajaan China mengeluarkan arahan supaya semua sekolah yang pada asalnya boleh dibina walapun oleh kaum minoriti, digabungkan di bawah sistem pendidikan China.


Perlu diketahui, Xinjiang adalah salah satu dari wilayah autonomi di negara China yang sering berlaku pergolakan akibat penindasan politik dan agama. Selain Xinjiang, Tibet juga mendakwa ditindas oleh pihak pemerintah. Wilayah Xinjiang sebenarnya tidak memperoleh pembangunan yang sekata dari pihak pemerintah. Ekonomi mereka dipegang oleh kaum China Han yang turut sama menindas apabila memilih mereka yang boleh berbahasa Mandarin sahaja untuk memegang jawatan-jawatan dalam sektor tersebut. Rentetan dari permasalahan ini, wujudlah kumpulan pejuang pemisah yang berusaha membela nasib dan masa depan kaum Uyghur iaitu Parti Turkestan Timur.


Semasa penguasaan Parti Komunis China dahulu, masyarakat Uyghur sering ditekan dan dihalang dari mengamalkan ajaran Islam. Walau bagaimanapun, mereka masih berjaya bertahan dan melakukan amal ibadah secara tersembunyi. Tidak hairanlah, kesan penindasan tersebut telah mewujudkan sebilangan kecil golongan sufi dalam kalangan masyarakat Uyghur.


Sekarang, pihak kerajaan China sering menggunakan alasan pengganas dan penentang kerajaan bagi membenarkan penahanan serta penindasan yang dilakukan terhadap lebih seribu orang kaum etnik Uyghur sepanjang tahun 2008 yang lalu. Mereka ini belum termasuk sebilangan penduduk Islam Uyghur yang sedang ditahan di Penjara Guantanamo, Cuba dan sukar mendapat hak pembebasan walaupun selepas dibicarakan oleh Mahkamah Pengadilan Amerika Syarikat. Semasa Sukan Olimpik berlangsung di Beijing pada tahun lepas, kerajaan China telah memberi kata peringatan kepada dunia agar berhati-hati dengan masyarakat Uyghur. Mereka sedari awal telah dilabelkan sebagai pengganas yang bakal mengganggu perjalanan temasya sukan tersebut.

Di sini kita boleh bandingkan persamaan yang wujud antara kerajaan berfahaman komunis yang pernah memerintah negara China dan Kemboja. Idea komunism tajaan Yahudi ini telah jelas menuntut pepecahan dan kemusnahan dalam beragama. Kini, kesannya tetap terasa dan masyarakat Uyghur terus terseksa di bawah pemerintahan yang kian menghapus etnik mereka. Lihat video di bawah, kenali perjuangan Uyghur di bumi China.
Wardah bt Abdul Rahman
Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)







Saturday, February 21, 2009

Jenayah Pembunuhan Pol Pot di Kemboja


Pembunuhan kejam lebih 1.7 juta penduduk Kemboja (Champuchea) pada zaman pemerintahan Pol Pot kini kembali diperkatakan. Terbaru, seorang daripada 5 pemimpin kanan Pol Pot mula dibicarakan di Mahkamah Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas jenayah perang yang dilakukan. Kaing Guek Eav, seorang bekas guru Matematik pernah menjadi ketua penjara Tuol Seng yang terkenal dengan seksaan dan deraan ke atas tahanan yang tidak bersalah. Penjara Tuol Seng atau ‘Security Prison’ (S-21) sekarang telah dijadikan muzium bagi memperingati kekejaman yang pernah berlaku sepanjang pemerintahan singkat Pol Pot sekitar tahun 1975-1979.



Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar telah membawa idea komunis ke dalam negara Kemboja dan mengetuai gerakan komunis Kemboja tersebut yang turut dikenali dengan nama Khmer Rouge (Khmer=etnik Kemboja, Roudge=merah dalam bahasa Perancis yang turut memberi simbol Komunis). Pada zaman pemerintahannya, Pol Pot mengerahkan perlaksanaan falsahah agragian (pertanian). Malangnya, idea ini hanya membawa kepada kemusnahan jiwa kepada kira-kira 26% dari jumlah rakyat Kemboja yang terpaksa menjadi buruh paksa, menghadapi kebuluran, dijangkiti penyakit serta diseksa ketika itu.


Kemboja ketika itu mempunyai rakyat yang terdiri daripada penganut Buddha, Islam (penduduk Champa) dan golongan animisme. Penting untuk kita ketahui bahawa, ketika zaman pemerintahan Pol Pot, pemimpin-pemimpin agama, golongan bijak pandai serta orang yang berpendidikan diseksa dan dibunuh. Tidak terkecuali kaum Muslim Champa yang tinggal di Kemboja. Mereka dilarang menyimpan kitab-kitab agama malah perlaksanaan ibadah seperti sembahyang dan puasa juga dilarang.


Lihat saja video-video penyeksaan serta paksaan yang dilakukan terhadap penduduk Kemboja, akan timbul rasa benci pada kekejaman oleh pihak komunis Khmer Rouge. Dengan hanya ber'uniform' hitam dan lilitan kain merah di kepala, kanak-kanak dipisahkan dari ibu bapa yang dikerah bekerja membuka tanah baru. Anak-anak yang masih kecil ini turut diajar untuk membenci ibu bapa. Penduduk Kemboja lebih-lebih lagi golongan berpendidikan dibunuh sewenang-wenangnya hinggakan yang memakai cermin mata turut dianggap lebih berpengetahuan dan dibunuh!


Jelas, ideologi komunis yang mengenepikan rasa bertuhan yang dipegang hanya mengarah kepada tindakan keganasan yang amat tidak berperikemanusiaan.



Wardah bt Abdul Rahman
Minden, Pulau Pinang.
Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)
http://skuad-penyelamat-aqidah.blogspot.com/



://www.youtube.com/watch?v=1-SI8RF6wDE


Cambodian Genocide - What really happened




Khmer Rouge Genocide

Sunday, February 8, 2009

Kenali Pokok Ghargad

KENALI POKOK GHARQAD YAHUDI



Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud: " Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia m
erupakan pokok Yahudi ".




Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.




Saya telah dimaklumkan bahawa orang Yahudi pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di Negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw....*****a keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa. Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya. Moga gambar pokok Gharqad yang dipapar di atas dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad. Dan yang pastinya pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita. Wallahu'alam




sumber: E-mail : Mohd Firdaus Bin Isa
Finance Department
MISC Integrated Logistics Sdn Bhd
Pulau Indah
Office : 03-31612476 Fax : 03-31612536
E-mail :
mfirdaus.isa@miscbhd.com

Thursday, February 5, 2009

Penindasan Rohingya di Myanmar


Awal bulan ini, akhbar-akhbar di bahagian sisipan ‘Dunia’ telah memaparkan beberapa berita berkenaan pelarian Rohingya. Di celahan berita penindasan umat Islam di Palestin, sedarkah kita ada juga umat Islam di negara lain yang turut sama ditindas? Siapa sebenarnya mereka? Mengapa mereka kerap kali melarikan diri dari negara sendiri sehelai sepinggang dan apakah sebabnya?
  • Rohingya sebenarnya adalah kumpulan etnik beragama Islam yang melarikan diri daripada penindasan pihak junta tentera di Myanmar.
  • Mereka adalah kumpulan minoriti Islam yang kerap melarikan diri dari wilayah Rakhaine di barat laut Myanmar menuju ke Bangladesh terutamanya.
  • Mereka terpaksa berdepan dengan risiko maut atau hilang dalam cubaan melarikan diri melalui laut ke negara-negara seperti Malaysia , Indonesia dan Singapura.
  • Ratusan ribu orang Rohingya kini terpaksa tinggal di sempadan Bangladesh dan tidak dapat masuk ke Myanmar kerana kerakyatan mereka dinafikan di samping hak asasi mereka dicabul. Mereka dipaksa menjadi buruh tanpa gaji dan pergerakan dihalang. Terdapat juga dakwaan rogol, bunuh dan seksaan lain berlaku.
  • Seandainya mereka kembali ke Myanmar, kediaman mereka telah dimusnahkan.
  • Di Bangladesh terdapat kira-kita 200 000 pelarian yang menetap secara haram di negara tersebut. 21 000 orang lagi ditempatkan di dua kem pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di persisiran pantai Cox’s Bazar.
  • 4 Februari 2009 yang lalu, tentera laut Indonesia telah menyelamatkan 198 pelarian bot yang dikesan di pantai Acheh. 22 penumpang telah mati sepanjang pelayaran mereka dari Thailand. Mereka telah terapung selama 3 minggu dalam bot tanpa enjin dan tidak dibekalkan dengan makanan atau minuman secukupnya.
  • Pihak berkuasa Thailand dilaporkan telah mendera pelarian Rohingya yang ingin meminta suaka politik dan mendarat di Thailand selepas didakwa melarikan diri dari Myanmar dan Bangladesh.
  • Terdapat juga dakwaan lain yang mengatakan mereka adalah antara 1000 orang Rohingya yang dikesan bekerja secara haram di Thailand. Mereka kemudiannya dipaksa meninggalkan Thailand dengan menaiki 9 bot tanpa enjin Disember lalu.
  • Sebelum dihanyutkan tentera Thailand, mereka mendakwa telah dipukul serta didera oleh tentera Thailand.
  • Anggota perubatan Indonesia mengesahkan terdapat kesan luka dan sebatan pada tubuh badan pelarian terbabit dan besar kemungkinannya mereka telah dipukul dengan objek tumpul selari dengan dakwaan mereka didera tentera Thailand.
  • Indonesia menganggap pelarian Rohingya yang dihanyutkan Thailand sebagai ‘pelarian ekonomi’ dan tujuan mereka melarikan diri dari negara asal adalah disebabkan ekonomi.
  • Pada masa yang sama, kerajaan Myanmar membalas mengatakan pelarian Rohingya yang hanyut di dalam bot bukanlah dari negara mereka kerana Rohingya tidak tersenarai dalam 100 kumpulan etnik yang diiktiraf oleh Myanmar.
  • Orang Rohingya kebanyakannya tidak sanggup kembali ke negara asal mereka malah lebih rela mati daripada dihantar pulang ke Myanmar.

Sedar dan insaflah, saudara seagama kita, orang-orang Rohingya telah tertindas sekian lama. Jika tidak masakan kebanyakannya mereka sudah serik dan tidak sanggup dihantar pulang ke Myanmar bahkan mereka yakin dengan penyeksaan yang bakal mereka hadapi nanti. Orang Rohingya ini sanggup bergadai nyawa dalam usaha mencari perlindungan dari negara-negara luar. Sampai bilakah penindasan dan tekanan ke atas umat Islam Rohingya akan berakhir? Mereka ‘terbuang dari negara sendiri’.


Wardah bt Abdul Rahman
Minden, Pulau Pinang.
Aktivis Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ)

http://skuad-penyelamat-aqidah.blogspot.com/


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...